Ucapan

Laporan UMNO 2016 Oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kerana dapat bersama-sama berkumpul pagi ini bagi menjayakan Perhimpunan Agung UMNO 2016.

2. Sesungguhnya, kita berada di sini hari ini, bukanlah semata-mata untuk meneruskan perjuangan parti demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara tetapi juga adalah sebagai bukti bahawa, UMNO adalah parti yang mempunyai struktur yang mantap, organisasi yang tersusun, ada Perlembagaan dan peraturan serta patuh pada perundangan Akta Pertubuhan.

3. Sebelum saya meneruskan laporan saya, marilah kita sama-sama mengalu-alukan Bendahari baharu UMNO Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Said Keruak dan Ketua Penerangan baharu UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam barisan Majlis Tertinggi UMNO di Perhimpunan ini.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden dan para perwakilan sekalian,
4. Sekali lagi, marilah kita panjatkan kesyukuran kerana kita terus istiqamah dalam mempertahankan perjuangan UMNO, parti yang mempelopori semangat kebangsaan sejak 1946, menggerakkan semangat kemerdekaan, menerajui perjuangan untuk kedaulatan dan seterusnya hari ini kita dalam UMNO terus mempertahankan kedaulatan dengan mendukung Perlembagaan negara bersama-sama rakan kita dalam kompenan Barisan Nasional.

5. Saya mohon keizinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri untuk melaporkan bahawa persiapan bagi Perhimpunan Agung UMNO 2016, telah pun berjalan dengan lancar. Persediaan untuk ini telah dilakukan berlandaskan kepada peraturan persidangan UMNO dengan melibatkan semua peringkat.

6. Ia bermula di akar umbi iaitu, membabitkan ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan dan bahagian, melalui mesyuarat yang dijalankan dan perbincangan yang dipersetujui, meliputi semua anggota parti termasuklah Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

7. Dengan amanah yang terpikul, ahli-ahli UMNO melaksanakannya sepenuh tanggungjawab, secara telus dan berpaksikan kebersamaan dalam parti serta menjunjung Perlembagaan UMNO.

8. Dilaporkan, jumlah perwakilan UMNO yang hadir dalam persidangan hari ini ialah seramai 2,643 orang.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan Sidang Perwakilan Sekalian
9. Sekali lagi UMNO menjadi perhatian dan persidangan ini menjadi tumpuan bukan sahaja kepada ahli-ahli parti tetapi juga kepada masyarakat keseluruhan, khususnya untuk melihat hala tuju dan kesinambungan perjuangan UMNO.

10. Sebagai sebuah parti politik, berdepan dengan cabaran dan krisis adalah lumrah namun bagaimana untuk mengurus dan menangani gelombang yang datang adalah keutamaan. Ini kerana UMNO bukan hanya berdepan dengan isu-isu dalaman parti tetapi lebih getir apabila UMNO dan Barisan Nasional, parti dan para pemimpinnya menjadi sasaran manipulasi, provokasi dan persepsi yang diangkat menjadi realiti.

11. UMNO menerima pelbagai tohmahan, difitnah dengan macam-macam perkara, diburukkan dengan cerita-cerita palsu sehinggakan apa-apa saja perkara negatif maka UMNO ditudingnya, dipersalah dan dicerca.

12. Serangan terhadap UMNO datang bertali arus bukan saja dari pihak luar tetapi juga daripada mereka yang pernah mendukung perjuangan UMNO. Mereka yang dahulunya bergerak seiring dengan kita, berada di barisan hadapan dalam medan perjuangan atas nama UMNO namun hari ini, mereka sanggup bersekongkol bagi menghancurkan UMNO.

13. Lebih dari itu, niat mereka bukan hanya mahukan Presiden UMNO jatuh tetapi juga mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi. Mengadakan demonstrasi, menghalalkan himpunan jalanan, mengadakan roadshow dan menyeru pihak luar campur tangan dalam isu negara sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

14. Ternyata, pendekatan yang dibuat mereka bertentangan dengan kehendak parti, mereka ini bukan lagi pemimpin yang wajar kita ikut, mereka bukanlah pejuang parti yang perlu kita contohi, namun kita jadikanlah tindakan mereka sebagai satu tauladan, sebagai sempadan kepada tingkah kita kelak, lantas apabila kuasa sudah beralih tangan janganlah hendaknya kita menjadi penentang arus dan memburukkan parti yang terlalu banyak jasanya kepada kita semua.

15. Semangat UMNO terus bersemarak lantaran kekuatan sokongan dari akar umbi yang tidak pernah putus terhadap kepimpinan semua peringkat. Kesatuan setiap anggota parti mendukung kebersamaan dalam meneruskan perjuangan, bukan sekadar memastikan kesinambungan UMNO terus teguh, tetapi apa yang penting adalah meneruskan penghayatan terhadap asas dan tujuan parti ini ditubuhkan untuk diselami oleh generasi muda dan akan datang. UMNO dulu, kini dan selamanya.

16. Insya-Allah, usaha yang berterusan dilaksanakan oleh UMNO dalam gerakan di semua peringkat, bertemu dengan ahli-ahli parti, berkongsi rasa dan bertukar-tukar fikiran bagi memastikan UMNO terus relevan dalam apa jua keadaan.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian,
17. Dalam tahun 2016, UMNO dan Barisan Nasional telah berdepan dengan dugaan yang pelbagai, ada suka dan ada duka, ada pahit dan ada manis namun semuanya dilalui dengan kesederhanaan dan kesyukuran yang tidak pernah padam.

18. Alhamdulillah, kita gembira dan berkongsi rasa ceria dengan kejayaan Barisan Nasional yang beroleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak. Tahniah kepada Barisan Nasional khususnya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Tan Seri Adenan Satem serta barisan jentera yang memastikan Barisan Nasional ampuh dan terus mendapat sokongan dari rakyat.

19. Namun begitu, kita kemudiannya dikejutkan dengan rasa duka dan sama-sama bersedih atas tragedi yang berlaku. Nahas helikopter di Batang Lupar, Sarawak pada 5 Mei lalu turut mengorbankan dua orang pemimpin kita iaitu Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Anggota Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon. Sesungguhnya, tragedi tersebut amat terkesan di sanubari kita malah kehilangan allahyarham dan allahyarhamah sangat dirasai. Marilah kita bertafakur sejenak dan sedekahkan Al-fatihah kepada mereka dan berdoa agar rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

20. Lantaran itu, kita telah berdepan dengan dua pilihan raya kecil yang mana Barisan Nasional meletakkan calonnya, YB Budiman Mohd Zohdi di Parlimen
Sungai Besar manakala Datin Mastura Mohd Yazid bagi Parlimen Kuala Kangsar. Hasil kerja keras dan muafakat erat antara jentera UMNO dan Barisan Nasional maka kita telah beroleh kemenangan dengan majoriti bertambah yang amat membanggakan. Tahniah kepada YB Budiman dan YB Datin Mastura serta semua jentera yang telah bertungkus-lumus bersama-sama memastikan kejayaan Barisan Nasional.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian,
21. Asas penubuhan dan perjuangan UMNO tidak pernah berubah biarpun usianya telah 70 tahun. Sebagaimana lahirnya, begitulah UMNO kini iaitu, perjuangannya UMNO masih lagi berteraskan kepada mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara. Masa berlalu, musim berganti, tujuh dasawarsa menjengah dengan pemimpin datang dan pergi tetapi perjuangan UMNO perlu terus kekal di sanubari.

22. Sehubungan itu, pendekatan yang dilaksanakan bagi memastikan UMNO terus unggul sentiasa diperbaharui, bukan hanya dengan latihan dan program, gerakan turun ke bawah dan pemimpin bersama akar umbi, malah penguasaan dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat turut dipertingkatkan.

23. UMNO hari ini bukan sahaja mendukung aspirasi bangsa Melayu tetapi turut menjadi teras sebagai tempat berpaut rakyat Malaysia keseluruhannya. Kesatuan dalam kepelbagaian turut bersemarak dalam UMNO biarpun parti ini berteraskan agama dan bangsa. Rasionalisasi UMNO bersendikan dasar-dasar kerajaan, dengan kita mengangkat Transformasi Nasional 2050 atau TN50 untuk generasi masa hadapan.

24. Lebih dari itu, UMNO turut menggerakkan semua ahlinya selaku tunjang utama parti untuk menjadi jentera paling berkesan dalam pertambahan jumlah ahli dengan memastikan mereka berdaftar sebagai pemilih lantas dapat menunaikan tanggungjawab menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

25. Dalam pada UMNO diasak dan dimomokkan dengan pelbagai kata, keahlian UMNO terus bertambah dan mendapat sokongan dari masa ke masa. Dilaporkan kedudukan keahlian UMNO sehingga 30 November 2016, jumlah ahli yang dicatat ialah 3,573,719 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,653.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan sidang perwakilan sekalian,
26. Walaupun UMNO berdepan dengan pelbagai cabaran, kecemerlangan dan kejayaan parti dalam mengadakan hubungan dua hala antara parti-parti politik serantau dan di peringkat global tetap berjalan dengan jayanya dan amat membanggakan.

27. Dilaporkan dalam perhimpunan kali ini, kita menerima delegasi luar negara seramai 109 orang delegasi, mewakili 27 parti melibatkan 19 buah negara. Dengan ini kita mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan parti dari peringkat antarabangsa.

1. PROGRESSIVE PARTY OF MALDIVES (PPM), MALDIVES

2. JAMYAT-E ISLAMY PARTY, AFGANISTAN

3. CAMBODIAN PEOPLE’S PARTY (CPP), CAMBODIA

4. COMMUNIST PARTY OF CHINA (CPC), CHINA

5. WORKERS’ PARTY OF KOREA, DEMOCRATIC PEOPLE’S REPUBLIC OF KOREA

6. PARTAI DEMOKRASI INDONESIA PERJUANGAN (PDIP), INDONESIA

7. PARTAI GOLKAR, INDONESIA

8. PARTAI NASDEM, INDONESIA

9. PARTAI PERINDO, INDONESIA

10. PARTAI GERINDRA, INDONESIA

11. PARTAI KEADILAN SEJAHTERA (PKS)

12. WIPER DEMOCRATIC MOVEMENT PARTY, KENYA

13. ORANGE DEMOCRATIC MOVEMENT (ODM), KENYA

14. LAO PEOPLE’S REVOLUTIONARY PARTY (LPRP), LAO

15. JUSTICE AND DEVELOPMENT PARTY, MOROCCO

16. NIGERIEN PARTY FOR DEMOCRACY AND SOCIALISM-TARRAYYA (PNDS), REPUBLIC OF NIGER

17. PALESTINE NATIONAL LIBERATION MOVEMENT (FATAH), PALESTINE

18. PALESTINES ISLAMIC RESISTANCE MOVEMENT (HAMAS), PALESTINES

19. PHILIPPINE DEMOCRATIC PARTY – POWER OF PEOPLE (PDP-LABAN), PHILIPPINES

20. PEOPLE’S ACTION PARTY, SINGAPORE

21. PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU SINGAPURA (PKMS), SINGAPORE

22. NATIONAL CONGRESS PARTY, SUDAN

23. DEMOCRAT PARTY, THAILAND

24. NATIONAL CONGRESS FOR TIMORESE RECONSTRUCTION (CNRT), TIMOR LESTE

25. JUSTICE AND DEVELOPMENT PARTY (AK-PARTY), TURKEY

26. COMMUNIST PARTY OF VIETNAM (CPV), VIETNAM

27. ZIMBABWE AFRICAN NATIONAL UNION (ZANU PF), ZIMBABWE

Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian,
28. Dalam masa yang sama, persidangan kita juga turut disertai oleh golongan muda yang sentiasa kita alu-alukan khususnya para penuntut di peringkat pengajian tinggi dari dalam dan luar negara. Di dalam dewan ini kita himpunkan seramai 78 perwakilan dari Kelab UMNO Luar Negara selain kehadiran 35 orang perwakilan mahasiswa universiti dari dalam negara.

29. Sesungguhnya persidangan kita ini bukan sahaja mendapat perhatian ahli-ahli UMNO tetapi juga diikuti oleh semua pihak termasuklah liputan media dalam dan luar negara.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden
30. Demikianlah laporan saya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian berkaitan dengan persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2016.

31. Maka dengan ini, dengan hormatnya saya persilakan Yang Berbahagia Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO Malaysia untuk mengambil tempat dan memulakan persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2016.

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh