Pendaftaran Pencalonan Pemilihan UMNO Bermula Esok – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan kepada semua ahli-ahli UMNO bahawa pendaftaran pencalonan untuk pemilihan UMNO bagi semua jawatan dalam parti akan bermula esok, 1 Jun 2018 (Jumaat).

Katanya, UMNO melaksanakan melalui konsep yang terbuka tanpa perlu melalui pihak yang lain.

“Tak payah orang nak calonkan dah. Semua jawatan di peringkat tertinggi kita tawarkan diri kita sendiri. Begitu juga di peringkat Bahagian sebagaimana saya di bahagian Putrajaya, saya akan isi borang dan saya hantar kepada Sekretariat Pemilihan Bahagian yang kemudian akan disemak dan menghantar ke Ibu Pejabat untuk menyemak kelayakan pencalonan.

“Begitu juga diperingkat pusat, kita ada jawatankuasa dan sekretariat pemilihan. Kita akan melihat borang-borang yang dihantar dan meneliti calon-calon yang menawarkan diri.”

Bagi pendaftaran pencalonan, beliau memaklumkan terdapat tiga kaedah yang boleh digunapakai iaitu:

1. Pendaftaran secara online bermula 1 Jun 2018 (Jumaat) dan ditutup pada 17 Jun 2018 (Ahad).
2. Bagi mana-mana pendaftaran online yang tidak berjaya boleh membuat pendaftaran melalui Pejabat UMNO Bahagian.
3. Selain kaedah online, borang pendaftaran juga boleh dimuat turun dan dihantar ke Ibu Pejabat pada 17 Jun 2018 (Ahad) bermula 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang.

Ibu pejabat UMNO akan mempamerkan senarai akhir pencalonan yang melepasi kelayakan bertanding. – MediaUMNO

Artikel disiar pada May 31, 2018 - 4:31 pm oleh admin



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.