Mesyuarat Cawangan Buktikan Ahli UMNO Bersemangat Untuk Perkukuh Kembali Parti

 

KUALA LUMPUR – Kelancaran mesyuarat UMNO peringkat Cawangan yang bermula 19 Mei lalu menjadi bukti bahawa ahli-ahli akar umbi mahukan UMNO kembali bangkit demi perjuangan agama, bangsa dan negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghargai sokongan dan mengucapkan syabas kepada cawangan-cawangan UMNO yang sentiasa memastikan kelansungan perjuangan UMNO.

“Daripada tinjauan yang dilakukan, kita dapat maklumbalas bahawa cawangan-cawangan melaksanakan mesyuarat mereka seperti apa yang diminta.

“Dapat dilihat walaupun selepas kekalahan sebagai parti pemerintah Barisan Nasional (BN) yang bertulang belakangkan UMNO, ahli-ahli akar umbi bersemangat untuk bangkit semula untuk pastikan parti yang memperjuangkan orang Melayu, agama Islam akan terus menjadi mantap dan bangkit dengan memberitahu kepada masyarakat bahawa kita merupakan pertubuhan siasah yang sentiasa menjaga kepentingan Islam dan orang Melayu,” katanya kepada UMNO-Online.

Katanya, laksanakanlah mesyuarat dengan sebaik mungkin berlandaskan Perlembagaan parti.

“Saya percaya apa yang kita lakukan ini adalah satu amalan yang sihat untuk pastikan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu tidak diganggu gugat.

“Macam-macam cabaran yang akan kita hadapi, saya bersyukur kerana dapat lihat di peringkat akar umbi, parti kita yang mempunyai struktur mempunyai semangat yang kuat.”

Majlis Tertinggi UMNO telah menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan dan Pergerakan sayap Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO bermula Sabtu, 19 Mei 2018 sehingga Ahad, 10 Jun 2018 sementara di peringkat bahagian pada Sabtu, 30 Jun 2018. – MediaUMNO

Artikel disiar pada June 7, 2018 - 9:19 am oleh admin



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.