Ucapan

UMNO Sebuah Perjuangan – Laporan Setiausaha Agung UMNO

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Setiausaha Agung UMNO 2018 membuka persidangan Perhimpunan Agung UMNO dengan menyampaikan ucapan aluan dan laporan serta
membentangkan Peringatan Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2017 dan Penyata Tahunan 2017/2018 . Berikut adalah ucapan penuh beliau:

Alhamdulillah, setinggi-tingi kesyukuran dipanjatkan kerana atas limpah dan kurnia-Nya maka kita dapat berkumpul pada malam ini. Selamat datang ke Perhimpunan Agung UMNO 2018. Perhimpunan kali ini bertemakan UMNO Sebuah Perjuangan.

Ucapan penghargaan khas kepada tetamu jemputan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Kita mengalu-alukan kehadiran Timbalan Presiden Pas, Dato’ Haji Tuan Ibrahim bin Tuan Man bersama rombongannya.

Yang hijau itu PAS,
Yang merah itu kita;
Lupakan sengketa lepas,
Demi ummah kita bersama.

YBhg Tan Sri Pengerusi Tetap,

PILIHANRAYA UMUM KE-14, UNDI POPULAR

1. Sejak Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, parti kita telah melalui satu fasa perjuangan yang sangat mencabar, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 hb Mei yang lalu.

2. Buat kesekian kalinya, kita telah diasak dari segenap penjuru dengan politik Machiavelli yang mana ‘matlamat menghalalkan cara’, fitnah, character assassination, gerakan disinformation. Tidak kurang juga ‘manifesto’ luar biasa yang dari awal berniat mengula-gulakan rakyat demi undi telah menjadi agenda utama pihak yang mahu menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional.

3. Walaupun dalam suasana sedemikian, berkat kegigihan ahli-ahli UMNO, khususnya di akar umbi dan kawasan yang menjadi benteng UMNO dan Barisan Nasional, parti kita telah memenangi 54 kerusi Parlimen dan 150 kerusi Dewan Undangan Negeri yang menjadikan kita kekal sebagai parti terbesar di Parlimen dengan undi popular sebanyak 20.9 peratus atau 2,525,774 undi.

4. Namun kegagalan kita sebagai satu gabungan iaitu iaitu gabungan Barisan Nasional untuk memenangi cukup kerusi menyebabkan Barisan Nasional kehilangan Putrajaya buat pertama kali dalam sejarah.

YBhg Tan Sri Pengerusi Tetap,
5. Sukacita saya melaporkan bahawa dari saat kita kehilangan Putrajaya, pucuk pimpinan parti telah bertindak pantas, keutamaan menjaga kepentingan parti.

PEMILIHAN MAJLIS KERJA TERTINGGI DAN PUCUK PIMPINAN

6. Pada 12 Mei, iaitu tiga hari selepas Pilihan Raya Umum ke-14, pucuk pimpinan khususnya Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan secara redha dan sukarela melepaskan tampuk kepimpinan parti. Sikap yang amat mengkagumkan ini dibuat adalah agar UMNO terus bergerak kehadapan dan tugas Presiden dipangku oleh YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Parti mengucapkan setinggi penghargaan kepada YB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Perahu Bugis dari Belitung,
Selat Sunda Tenang airnya;
Jasamu Tuan tidak terhitung,
Allah jua akan membalasnya.

7. YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula tanpa berlengah telah mengambil tindakan serta merta mengisytiharkan proses pemilihan semula pimpinan parti di semua peringkat dengan menganjurkan semua jawatan ditandingi termasuk jawatan Presiden UMNO, iaitu jawatan yang tidak pernah ditandingi sejak UMNO diharamkan pasca pemilihan 1987.

8. Bagi pihak semua, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada:

i. Yang Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah dipilih sebagai Presiden UMNO yang ke-8 yang baru

ii. Yang Berhormat Datuk Seri Utama Mohamad Hasan yang telah dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO

iii. Yang Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Yang Berhormat Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Yang Berbahagia Datuk Seri Khaled Nordin yang dipilih sebagai Naib-naib Presiden

iv. Yang Berhormat Datuk Dr Noraini Ahmad sebagai Ketua Pergerakan Wanita, Yang Berbahagia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Pergerakan Pemuda dan Yang Berbahagia Datuk Zahida Zarikh Khan sebagai Ketua Pergerakan Puteri.

Serta semua Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Pergerakan Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri.
Begitu juga semua saf pimpinan di semua Negeri, Bahagian dan Cawangan-cawangan UMNO. Tahniah dan terima kasih kerana terus istiqamah dalam perjuangan parti.

PERJALANAN MESYUARAT AGUNG CAWANGAN & PERWAKILAN BAHAGIAN
YBhg Tan Sri Pengerusi Tetap,
9. Sukacita saya melaporkan proses pemilihan parti peringkat Cawangan telah berjalan dalam tempoh 21 hari bermula 19 Mei hingga 10 Jun yang melibatkan 21,990 cawangan dimana 19,124 cawangan telah bersidang, iaitu melibatkani lebih 3 juta ahli. Satu rekod yang belum pernah dicipta oleh mana-mana parti politik.

10. Sehubungan itu, dilaporkan bahawa semua proses berjalan dengan tertib mengikut peraturan – tidak ada tumbuk menumbuk, tidak ada kerusi terbang malah ahli UMNO tidak perlu memanggil mana-mana FRU untuk meleraikan, sebagaimana yang terjadi pada pemilihan di sesetengah parti yang lain.

11. Persidangan peringkat Bahagian pula berlangsung satu hari sahaja secara serentak di seluruh negara pada 30hb Jun yang melibatkan 191 Bahagian dengan perwakilan berjumlah 177,263 orang terlibat dalam pemilihan Bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi. Ini telah melibatkan:

• 140 calon Majlis Kerja Tertinggi untuk 25 jawatan
• 94 calon Wanita
• 206 calon Pemuda
• 81 calon Puteri

12.Dengan jumlah-jumlah tersebut, jelaslah, walaupun UMNO bukan lagi parti pemerintah namun sambutan ahli-ahli parti tetap hangat bagi menyahut seruan perjuangan UMNO.

BILANGAN KEAHLIAN DAN CAWANGAN
Tan Sri Pengerusi Tetap,
13. Sokongan dan dokongan ahli UMNO akar umbi adalah kekuatan parti. Sehubungan itu dilaporkan jumlah ahli biasa UMNO ialah 3,696,283 dan ahli bergabung UMNO melalui Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), 171,405 dari 1,442 cawangan sementara bilangan cawangan UMNO berjumlah 21,964 cawangan.

14. Dari segi Negeri, bilangan ahli teramai diterajui oleh:

i. Negeri Sabah – 592,587 ahli, diikuti
ii. Johor – 478,527 ahli dan
iii. Selangor – 447,019 ahli

Bahagian yang mencatat bilangan ahli tertinggi ialah
i. Bahagian Silam Sabah – 53,648, ahli diikuti
ii. Bahagian Kemaman, Terengganu – 41,026 ahli
iii. Bahagian Baling di Kedah, – 40,658 ahli

sementara keahlian cawangan teramai didahului oleh
i. Cawangan Kampung Batu Putih Darat, Libaran – 2,787 ahli diikuti
ii. Cawangan Kampung Tinosa Jaya, Libaran – 2,377 ahli
iii Cawangan Felda Air Tawar 2, Kita Tinggi – 1,626 ahli

KEAHLIAN PELBAGAI KAUM

15. Keahlian UMNO pula terdiri dari 14 suku kaum dan bangsa yang menunjukkan UMNO adalah sebuah parti yang terbuka dan meraikan kepelbagaian kaum dalam rumpun Melayu di negara kita.

16. Selain Melayu (3,159,099 orang)
Kadazan-Dusun (150,828 orang),
Bajau (134,525 orang),
Bisaya, Suluk, Murut, Idahan, Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak, Siam, India Muslim, Cina Muslim, orang asli, Portugis

AHLI SAYAP

17. Seterusnya, laporan keahlian berdasarkan pergerakan sayap-sayap UMNO. Wanita UMNO mempunyai tulang belakang 1,443,793 ahli sementara Pergerakan Pemuda ialah 616,011 ahli dan keahlian Pergerakan Puteri berjumlah 374,820 orang.

18. Peranan orang muda adalah sangat penting dalam membina kekuatan parti. Sukacita dilaporkan sejumlah 363,003 ahli berusia di bawah 30 tahun yang mana mereka ini adalah pemimpin pelapis untuk meneruskan perjuangan UMNO pada masa hadapan.

PENUTUP
YBhg Tan Sri Pengerusi Tetap,

19. UMNO adalah sebuah perjuangan. Sehubungan itu, pengurusan dan pentadbiran parti akan terus diperkasa sejajar dengan hala tuju baru dan landskap politik negara.

20. Presiden parti, telah memasuki 91 hari pentadbirannya. Banyak sudah transformasi pentadbiran mula dilaksanakan dalam suasana yang mencabar ini maka marilah kita terus istiqamah meneruskan kesinambungan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, dulu, kini dan selamanya.

Faidza Azamta Fatawakal ‘Alallah
Apabila kamu sudah membulatkan tekad berserah dirilah kepada Allah

Wamakaru Wamakarallah
Wallahu Khairul Maakirin

Kamu merancang, Allah juga merancang
Sesungguhnya Allah jua sebaik-baik perancang.

YBhg Tan Sri Pengerusi Tetap,
21. Maka saya selaku Setiausaha Agung UMNO bagi pihak Majlis Tertinggi dengan ini membentangkan Peringatan Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2017 [Kertas Persidangan Bil : 1/31/2018] dan Penyata Tahunan 2017/2018 [Kertas Persidangan Bil : 2/31/2018].

Terima kasih.

Wabillahitaufik Wahidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh