Berita

UMNO Harus Bergerak Ke Hadapan, Perkukuh Parti – Presiden

KUALA LUMPUR, 9 Nov – UMNO harus bergerak ke hadapan dengan memperkukuhkan perjalanan parti, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, perbezaan-perbezaan pendapat yang diraikan diletakkan titik noktah dan ahli-ahli UMNO harus bersama-sama untuk menterjemahkan kepemimpinan parti disemua peringkat.

“Kita harus bersama-sama untuk menterjemahkan kepemimpinan UMNO disemua peringkat dan menolak sebarang usaha-usaha untuk memecahkan parti dari luar atau dari dalam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di ibu pejabatnya, Menara Dato Onn petang ini.
Yang paling penting katanya, jelajah UMNO yang dilakukan bermula di Terengganu, diikuti dengan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan diteruskan.

“Ini adalah bagi memberikan penjelasan mengenai hala tuju UMNO dan bagaimana kita bergerak sebagai sebuah gagasan pembangkang yang efektif dan konstruktif bersama-sama dengan rakan-rakan parti pembangkang yang lain.”

Berkaitan program jelajah tersebut, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memaklumkan bahawa ahli-ahli UMNO mahukan parti kembali kukuh.

“Rakan-rakan saya Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan berserta pergerakan sayap-sayap melihat sendiri bahawa di bawah mahu UMNO terus kuat, mahu UMNO memperkukuhkan dirinya sebagai sebahagian daripada gagasan pembangkang.

“Tidak perlu untuk kita mengetuk pintu atau pintu kita diketuk bagi mengadakan sebarang bentuk perbincangan dan sebagainya. Kita harus bergerak sebagai sebuah parti yang kuat dan kita harus bersama-sama.

“Aset utama kita adalah ahli-ahli Parlimen dan kita harus memperkukuhkan perpaduan di kalangan kita. Kita yakin keseluruhan 48 ahli-ahli Parlimen tetap bersama-sama dengan kita dan sebarang keputusan dibuat secara bersama. Mereka tidak mahu meninggalkan UMNO dan mahu terus bersama sebagai ahli Parlimen UMNO,” tegasnya yang juga Ketua Pembangkang.

Beliau juga memaklumkan MKT UMNO hari ini mengambil ketetapan menolak sepenuhnya ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), tegas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Oleh itu, menurut Ahmad Zahid, UMNO meminta kerajaan menghentikan langkah-langkah yang akan menjejaskan pembinaan masyarakat yang diwujudkan selama ini melalui persefahaman bersama kerana ratifikasi ICERD ini bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

“Sebagai program pertama, UMNO pusat mengambil alih semua program-program utama menentang ratifikasi ICERD ini dan kita akan mulakan program ini bersama dengan Perhubungan UMNO Perak, tuan rumah oleh UMNO Pasir Salak pada 17 haribulan ini.

“Saya sendiri akan berucap sepentas dengan presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan kedua-dua parti secara jelas menolak ratifikasi ICERD ini.

“Dan kami juga telah meminta Pemuda UMNO agar bersama dengan Pemuda Pas terus bergerak ke negeri-negeri untuk melakukan program di peringkat Pemuda. Ini adalah bagi melaksanakan terjemahan penolakan kami di peringkat UMNO keseluruhannya.”

Dalam perkembangan semasa, Ahmad Zahid turut mengatakan mesyuarat telah membincangkan beberapa perkara terutamanya mengenai bajet gagasan pembangkang.

“Belanjawan 2019 yang menjadi bajet gagasan pembangkang dikenali sebagai ‘Inisiatif Ekonomi Rakyat’ dan bajet ini akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Rembau (Khairy Jamaluddin) yang telah dipersetujui oleh Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk membentangkannya bagi pihak gagasan pembangkang,” ujarnya.

Begitu juga katanya lagi, UMNO melahirkan perasaan kecewa mengenai penarafan yang terbaharu terhadap Petronas daripada agensi antarabangsa, Moody’s.

“Kami juga telah membincangkan perkara ini dengan mendalam terutama juga mengenai kedudukan Petronas yang telah diturunkan ‘out look’nya kepada negatif daripada positif.

“Dan ‘out look’ ini merupakan ‘the future outlook’ Petronas di mana kita amat bersedih di atas penggunaan dana rizab Petronas untuk menampung defisit bajet (Bajet Kerajaan Pakatan Harapan) sebanyak RM30 Bilion tambahan daripada jumlah dividen yang telah diberikan setiap tahun terdahulu sebanyak kira-kira RM20 Bilion.

“Ini dikhuatiri akan mengurangkan pengukuhan dana simpanan yang selama ini dipegang oleh Petronas,” jelasnya. – MediaUMNO