‘Ketua Kampung’ Gembira Mesyuarat Cawangan Perkemas Hala Tuju, Perkukuh UMNO

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau lebih sinonim dengan panggilan ‘ketua kampung’ melahirkan rasa gembira kerana mesyuarat Cawangan-cawangan di sini berlangsung lancar dalam usaha memastikan UMNO kembali kukuh dan terus teguh.

Katanya, mesyuarat Cawangan yang sedang berlangsung ini merupakan ruang terbaik kepada anggota akar umbi untuk memperkemaskan gerak kerja berlandaskan hala tuju baru setelah UMNO/Barisan Nasional gagal membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

“Banyak perkara yang boleh diangkat dan diperhalusi untuk dibawa ke peringkat bahagian namun perkara yang utama ialah memastikan hala tuju parti kukuh iaitu memahami asas perjuangan UMNO.

“Apatah lagi sejak kerajaan baru mengambil alih pentadbiran, banyak isu berbangkit dalam masyarakat setempat yang mana kesemuanya memerlukan kesatuan UMNO untuk memperjuangkannya,” katanya.

Ujarnya, pada mana-mana Cawangan yang masih belum bermesyuarat, gunakanlah ruang yang ada bagi mengangkat kembali maruah agama, bangsa dan negara.

“Pada Cawangan yang sudah melaksanakan tanggungjawab, saya amat hargai dan ucapkan terima kasih. Manfaatkan setiap ruang dan peluang dengan memastikan sokongan UMNO mantap.”

Tarikh persidangan tahunan Cawangan telah ditetapkan bermula pada 15 Februari sehingga 30 April sementara di peringkat Bahagian pada 15 Jun hingga 30 Julai depan.

Kali ini, persidangan tahunan Cawangan diberi tempoh selama dua bulan setengah bagi memastikan semua Cawangan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih kemas dan telus. – UMNOPutrajaya

Artikel disiar pada March 20, 2019 - 5:32 pm oleh admin



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.