BeritaRencana

Projek RUMAWIP@Sentral Dibatalkan, Pemohon Berputih Mata

PUTRAJAYA: Ribuan pemohon Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), di Presint 9 di sini berputih mata apabila projek berkenaan tidak dapat diteruskan.

Menurut kenyataan rasmi yang terdapat di laman sesawang RUMAWIP, yang dimuat naik sejak November tahun lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan memutuskan untuk meneliti semula cadangan pembangunan berkenaan yang dikenali sebagai Projek RUMAWIP@Sentral.

“Seperti mana (permohonan) yang sudah dibuka pada 20 Mac 2018, mendapati projek berkenaan tidak dapat diteruskan.

“Kementerian Wilayah Persekutuan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan kepada pembangunan RUMAWIP. Kesulitan amatlah dikesali,” katanya.

Seorang pemohon yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal, 38, berkata beliau tidak mendapat sebarang surat rasmi mengenai pembatalan projek berkenaan dan hanya mengetahuinya menerusi laman sesawang projek terbabit.

“Kerajaan tidak memaklumkan kepada pemohon, sekurang-kurangnya beritahu yang projek itu tidak dapat diteruskan. Perasaan ralat dan kecewa itu tidak dapat digambarkan.

“Pada pendapat saya, teruskan saja projek ini kerana ia memberi manfaat kepada golongan seperti kami ini.

“Difahamkan, jika projek itu diambil alih oleh kerajaan sekarang, berkemungkinan harga rumah yang bernilai RM80,000 seunit itu tidak akan dikekalkan. Sekiranya perkara itu berlaku, sudah tentu golongan seperti saya tidak dapat memiliki rumah sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata buat masa ini pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil alih projek berkenaan.

“Setakat ini, difahamkan KPKT akan ambil alih projek ini kerana semua projek perumahan akan di letakkan di bawah KPKT.

“Kementerian Wilayah Persekutuan tutup permohonan pembeli RUMAWIP di Putrajaya selepas PPj batalkan projek ini dulu,” katanya.

Terdahulu, pada 20 Mac tahun lalu, BH melaporkan Kementerian Wilayah Persekutuan akan menyediakan 500 daripada 2,000 unit RUMAWIP di Putrajaya pada harga serendah RM80,000 seunit.

Projek pertama RUMAWIP di Putrajaya dijangka siap sepenuhnya pada 2024 di mana 500 unit kediaman dengan keluasan lantai 700 kaki persegi (65 meter persegi) itu bakal ditawarkan kepada orang kelainan upaya (OKU), penjawat awam isi rumah bawah RM3,000 dan komuniti masyarakat India.

Kementerian Wilayah Persekutuan turut memperuntukkan 50 unit untuk OKU dan 90 unit lagi untuk masyarakat India yang menetap di Putrajaya, manakala selebihnya kepada penjawat awam dan penduduk yang menetap di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

Selain itu, unit RUMAWIP turut ditawarkan kepada penjawat awam yang belum memiliki rumah pertama serta kepada penduduk Putrajaya yang bukan dari kalangan penjawat awam.

Baki 1,500 unit RUMAWIP lagi akan ditawarkan pada harga RM270,000 dengan keluasan lantai 800 kaki persegi (74 meter persegi).

RUMAWIP adalah sebahagian daripada projek pembangunan bersepadu yang akan dibangunkan di Presint 7 dan Presint 9 oleh anak syarikat milik penuh Perbadanan Putrajaya (PPj), Putrajaya Leisures & Services Group Sdn Bhd (Pulse Group) bersama tiga rakan strategik lain iaitu Pan Sejati Development (M) Sdn Bhd; Alliance Gloss Sdn Bhd dan GETS Global Bhd. – www.bharian.com.my