Berita

Statut Rom Boleh Hapuskan Raja-Raja Melayu: Tun Abdul Hamid

KUALA LUMPUR 9 April – Baru-baru ini, Malaysia memutuskan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang ditandatangani pada 4 Mac lalu setelah berlaku penolakan daripada majoriti rakyat dan Raja-Raja Melayu di negara ini.

Ini kerana penyertaan itu dikatakan tidak mengikut Perlembagaan dan dipercayai cubaan untuk menghapuskan Raja-Raja Melayu, walaupun perkara itu dinafikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan jemaah Menteri lain, rakyat tetap berhak mendapat penjelasan berhubung perkara tersebut.

Berikut adalah ringkasan daripada perkongsian pandangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkenaan perkara itu:

1.Kedaulatan:
Apabila sesebuah negara menjadi ahli kepada sesuatu konvensyen antarabangsa, negara itu tidak dapat mengelak kerana sedikit sebanyak ia akan menyentuh kedaulatan sesebuah negara itu. Sama ada sedikit atau banyak menyentuh kedaulatan sesebuah negara, ia bergantung kepada jenis perjanjian tersebut.

2. Kedaulatan semua negara:
Dalam isu Statut Rom ini, ia bukan sahaja akan menyentuh kedaulatan negara Malaysia sahaja bahkan semua kedaulatan negara yang menandatangani perjanjian itu akan mengalami nasib yang serupa. Semua negara yang menyertainya boleh membuat aduan dan disiasat.

3. Kekebalan atau imuniti Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu:
Menurut kenyataan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah: Penyertaan Malaysia ke Statut Rom tidak menjejaskan kedudukan dan kekebalan baginda.

Alasan yang digunakan adalah ringkasnya tugas-tugas Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri atau jemaah Menteri, oleh yang demikian segala tindakan baginda jika terjadinya jenayah perang, ia akan terletak pada bahu Perdana Menteri dan anggota Kabinet.

Hujah ini kelihatan betul tetapi banyak kesalahan yang sengaja disembunyikan. Sudah tentu apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan jemaah Menteri tidak akan menyebabkan baginda bersalah kerana jenayah itu bukan dilakukan oleh diri baginda. Jika kesalahan itu dilakukan oleh Seri Paduka dan Raja-Raja, mereka semua boleh dihadapkan ke ICC yang membawa maksud Raja-Raja tiada lagi kekebalan.


Yang hanya ada kekebalan adalah mereka yang berumur bawah 18 tahun sahaja. Mereka yang melebihi 18 tahun akan terletak di bawah bidang kuasa ICC.
Sama ada mereka melakukan atau tidak itu soal lain, sama ada kita mahu mereka dibicarakan itu soal lain. Persoalannya adalah sama ada kekebalan mereka terjejas jika kita meerima Statut Rom? Jawapannya, ya.

4. Perlukah Perlembagaan dipinda?
Saifuddin sekali lagi mengeluarkan kenyataan tambahan bahawa dengan menjadi negara pihak ICC, Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda.

Kenyataan ini tidak betul. Perlembagaan perlu dipinda kerana pertama, ia menyentuh kedudukan Raja-Raja. Jika Raja-Raja boleh didakwa di ICC ertinya kedudukan mereka terjejas. Jika kedudukan terjejas maka Perlembagaan perlu dipinda.

Kedua, mengikut Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan, jika Raja-Raja melakukan kesalahan mereka hanya boleh dibicarakan atau dihukum di Mahkamah Khas.

Jadi, jika kita mahu membolehkan perbicaraan terhadap Raja-Raja di ICC, kita terpaksa meminda Perlembagaan tersebut untuk memberi kuasa kepada ICC membicarakan mereka.

Jika tidak dipinda, maka, ICC tiada kuasa. Jadi kenyataan Saifuddin yang dipercayai dinasihatkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas berkenaan hal ini adalah tidak betul.

5. Perlukah penyertaan Statut Rom ini mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja?
Sekali lagi Saifuddin yang saya percaya mendapat nasihat daripada Tommy telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja untuk menyertai Statut Rom kerana ia tidak menyentuh kedudukan Raja-Raja. Kita telah menyentuh bab ini tadi bahawa Statut Rome ini menyentuh kedudukan Raja-Raja.

Oleh kerana Statut Rom menyentuh kedudukan Raja-Raja, mengikut Perkara 159 (4)(Pembetulan:Perkara 159(5)) tidaklah boleh diluluskan satu Perlembagaan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Diringkaskan, sekiranya untuk memberi kuasa kepada ICC ke atas Seri Paduka dan Raja-Raja, satu Perlembagaan mesti dipinda. Oleh kerana Perlembagaan yang akan dipinda itu menyentuh kedudukan Raja-Raja, maka persetujuan Majlis Raja-Raja perlulah diperoleh terlebih dahulu.

6. Patutkan kita terima Statut Rom?
Dalam hal ini pihak kerajaanlah yang sepatutnya memutuskan perkara itu. Kita percaya kerajaan mempunyai maklumat yang sepatutnya jika mereka mahu menyertainya berbanding kita semua.Pada hemat saya, apa-apa keputusan mereka adalah berdasarkan politik semata-mata. Apa pun mereka perlu mempertimbangkan perkara yang saya telah sebutkan tadi.

Sekiranya mereka ingin menyertainya juga, sila maklumkan kepada seluruh rakyat bahawa kesannya adalah seperti yang telah disebutkan tadi. Jangan pula kata tiada kesan.

Amerika Syarikat (AS) menentang sekeras-kerasnya ICC, malah mereka telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak akan diberikan atau menarik semula visa penyiasat-penyiasat ICC yang ingin masuk ke negara itu. Bahkan, Amerika mengugut akan mengenakan sekatan ekonomi kepada mana-mana negara yang membangkitkan hal itu.

AS malah menegaskan jangan menyentuh negara itu dan Israel yang turut tidak menyertai Statut Rom.Sekiranya Malaysia menyertainya dan menjadi ahli Statut Rom sekalipun, kita tetap tidak tidak boleh mendakwa dan membicarakan Israel di ICC kerana mereka bukan negara ahli. Sebagaimana yang telah disebutkan pada awal tadi, hanya negara yang menyertainya sahaja boleh membuat aduan dan boleh dibicarakan.

Bagaimanapun, ada satu cara lain yang boleh digunakan iaitu meminta Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengusulkan ICC untuk membuat siasatan terhadap sesuatu negeri. Itupun sekiranya Majlis Keselamatan bersetuju kerana apa yang pasti AS pasti akan menggunakan kuasa vetonya sekiranya sesiapa yang membangkitkan perkara itu.

Akhirnya, setakat ini hanya satu negara sahaja yang telah disiasat oleh ICC melalui Majlis Keselamatan iaitu negara Islam, Sudan Utara yang dikatakan melakukan kekerasan terhadap pemberontak Sudan Selatan yang terdiri daripada penganut Kristian yang ingin memisahkan Sudan Selatan dari Sudan Utara.

Negara Sudan yang dikuasai oleh orang Islam itulah akhirnya dijadikan mangsa untuk disiasat. Itulah keadilan PBB. Tuan-tuan fikirlah sendiri.

Baik, berbalik kepada AS tadi, sekiranya negara itupun menolak mengapa pula kita terhegeh-hegeh untuk menyertainya? Ini persoalan yang perlu kita fikir. Apatah lagi jiran-jiran kita juga tidak menyertai Statut Rom. Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand semua tidak menerimanya. Apa sebab kita hendak terima sangat?

Kita hendak terima mungkin sebab kita boleh hadapkan Singapura ke ICC tetapi Singapura bukan ahli Statut Rom, bagaimana untuk dibicarakan? Jadi apa sebab yang sebenar-benarnya yang kita hendak sangat menyertainya? Itu soalan-soalan yang perlu kita fikir.

Ringkasnya, kekebalan Raja-Raja Melayu akan terhapus setelah menyertai Statut Rom. Apabila kekebalan Raja-Raja sudah dihapuskan, ‘perkara’ selepas itu akan menjadi sungguh mudah. Adakah dengan menyertai Statut Rom merupakan satu cara untuk menghapuskan Raja-Raja Melayu seperti yang berlaku di Singapura? – UTUSAN ONLINE