Berita

UMNO 73 Tahun: Cekal, Tekad Berjuang Untuk Generasi Akan Datang

KUALA LUMPUR – Bendahari UMNO Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berharap semua ahli tetap cekal bersama parti bagi mendepani cabaran yang mendatang.

Katanya, semua pendukung dan penyokong parti juga perlu mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa asas perjuangan UMNO sememangnya berada di dalam landasan yang tepat.

“Saya berharap bahawa semua ahli akan cekal bersama dengan UMNO dulu, kini dan selamanya.

“Percayalah, tidak ada satu perjuangan seperti UMNO yang akan memastikan bahawa bangsa, agama dan negara terpelihara,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Sempena menghayati perjuangan UMNO yang telah terbina selama 73 tahun genap 11 Mei nanti, Ahli Parlimen Putrajaya itu juga menyeru semua ahli tekad berjuang demi kepentingan generasi akan datang.

“Teruskan perjuangan dan jangan patah semangat kerana perjuangan kita belum selesai demi anak-anak kita dan masa depan anak bangsa kita.

“Saya berharap semua ahli UMNO akan menghayati hari lahirnya sebuah pertubuhan siasah yang selama ini banyak berjasa kepada kita,” ujarnya. – MediaUMNO</em>