‘Ketua Kampung’ Rai Golongan Asnaf, Ibu Tunggal dan Anak Yatim

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang lebih sinonim dengan panggilan ‘ketua kampung’ meneruskan langkah proaktif sempena kehadiran bulan Ramadan dengan meraikan ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan asnaf di sekitar kawasan terbabit dalam majlis berbuka puasa.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana majlis ini berjalan dengan lancar dan saya masih berpeluang untuk melaksanakan tanggungjawab dan membantu mereka yang memerlukan walaupun terdapat beberapa kekangan.

“Insya-Allah, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada para penduduk tempatan kerana inilah amanah yang saya pikul,” katanya.

Majlis yang berlangsung secara sederhana namun meriah berjalan dengan lancar di rumah beliau, di Presint 10 dengan turut disertai isterinya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki.

Dalam majlis tersebut, Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut menyampaikan sumbangan wang berserta barangan keperluan dapur bagi membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Ini adalah acara tahunan yang saya lakukan khususnya dalam bulan Ramadan, sama-sama meraikan golongan yang memerlukan dan saling berkongsi apa yang kita nikmati dalam kehidupan,” jelas beliau.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan menghargai sokongan serta bantuan semua pihak yang telah sama-sama berusaha melaksanakan perjalanan program tersebut.

“Semoga Allah SWT memberikan rahmat kepada kita semua dan semoga amal ibadah kita diterima Allah SWT.” – UMNOPutrajaya







Artikel disiar pada May 13, 2019 - 10:50 am oleh admin



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.