Berita

Selamat Tahun Baru 2019, Aplikasi Perjuangan Untuk Keteguhan Agama, Bangsa dan Negara

PUTRAJAYA – Tahun 2018 telah melabuhkan tirai dengan tahun 2019 menggamit semua. Sehubungan itu, ‘ketua kampung’ selaku Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku AdnanTengku Mansor mengucapkan Selamat Tahun Baru 2018 kepada semua rakyat Malaysia khususnya warga Putrajaya.

“Semoga dengan kedatangan tahun 2019 akan menambahkan kekuatan dan kesungguhan kita dalam meningkatkan diri menjadi lebih baik dan lebih cemerlang dengan menjadikan tahun 2018 sebagai sandaran agar kita tidak mengulangi apa-apa juga kesilapan lalu,” katanya.

Ujar beliau, seharusnya keazaman yang tinggi perlu terus diperkukuh dengan mengaplikasikan landasan perjuangan demi keteguhan agama, bangsa dan negara.

“Kita yakin dengan apa yang kita lakukan dan teruslah istiqamah dalam perjuangan demi agama, bangsa dan tanahair.”

Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan selamat bercuti kepada semua dengan menggunakan masa yang ada sebagai manfaat terbaik untuk bersama keluarga.

“Kepada anak-anak yang bakal memulakan sesi persekolan yang baru, selamat maju jaya dan semoga terus diberkati Allah SWT,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya