BeritaUcapan

Wanita Ikrar Bersatu Hati Teruskan Perjuangan UMNO

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Putrajaya melahirkan tekad untuk meneruskan perjuangan UMNO, walupun hari ini parti tersebut bergelar pembangkang.

Ketuanya, Puan Husna Abdul Rahaman berkata, Wanita Putrajaya berikrar untuk terus setia bersatu hati dalam meneruskan perjuangan UMNO.

“Kita mengambil inisiatif turun padang dan mantapkan diri dengan mengetahui isu-isu semasa dalam memastikan golongan Wanita tidak terperangkap dan dapat menangkis tohmahan berkaitan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian serentak Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Putrajaya yang disempurnakan oleh Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau melahirkan penghargaan terhadap golongan Wanita yang sentiasa memberikan sokongan kepada UMNO.

“Hari ini jumlah perwakilan pergerakan sayap ialah seramai 502 orang melibatkan 231 perwakilan Wanita dan kita berbangga kerana jumlah ahli Wanita di Putrajaya dapat kita tambahkan walaupun dalam keadaan kita bergelar pembangkang,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada Datuk Seri Tengku Adnan yang sentiasa menyokong usaha pergerakan Wanita  sisamping sokongan yang tidak berbelah bahagi dari Badan Amal Kasih Ibu. – UMNOPutrajaya