Berita

Terima Kasih, Menteri Wilayah Akui Tengku Adnan Tak Terlibat Jual Tanah

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad yang mengakui bahawa beliau tidak terlibat dalam penjualan tanah di Wilayah Persekutuan sepanjang menjadi menteri pada penggal lalu.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata beliau tiada kena-mengena dengan kelulusan (penjualan) tanah di Wilayah Persekutuan sepanjang memegang jawatan sebagai menteri.

“Waktu saya ambil alih kementerian (Wilayah Persekutuan) pada 2013, masalah tanah saya dah pulang kepada Jabatan Perdana Menteri, saya tidak ada kena-mengena atas kelulusan tanah di Wilayah Persekutuan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada menteri (Khalid Samad) yang telah buat penyelidikan dan ramai yang kata saya tidak dipanggil oleh SPRM.

“Untuk makluman dewan, lebih 12 kali saya telah dipanggil dan telah beri keterangan apa yang saya tahu,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, Tengku Adnan mencabar ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai supaya mengulangi tuduhan kononnya beliau mengizinkan tanah-tanah milik DBKL dijual tanpa mengikut prosedur di luar Dewan Rakyat.

Jelas beliau, sekiranya Kok Wai mengulangi pertuduhan tersebut diluar Dewan, sudah pasti beliau akan mengambil tindakan mahkamah bagi membuktikan dirinya tidak ada kena-mengena dengan kelulusan tanah di Wilayah Persekutuan.

“Untuk makluman Cheras (Kok Wai), tuduh saya di luar. ‘I will take you to court’.”

Tengku Adnan bangun membuat penjelasan itu sebelum bertanya soalan tambahan kepada Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berhubung berapa banyak tanah yang diberikan di atas nama DBKL sepanjang beliau (Tengku Adnan) menjadi menteri.

Ketika menjawab soalan itu, Khalid berkata beliau mengakui ada beberapa tanah yang asalnya milik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ditukar nama kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kemudiannya dijual DBKL untuk memberikan hasil kepada pihak berkuasa tempatan itu.

“Walaupun kita akui bukan hanya DBKL dan Kementerian Wilayah sahaja yang terlibat, ada Exco tanah juga terlibat yang kita tahu Putrajaya (Tengku Adnan) tidak terlibat, tetapi kita harus akui ada transaksi yang dibuat tidak ikut prosedur, tidak perlu kita buat tuduhan-tuduhan dalam Dewan, kami daripada kementerian dan DBKL akan beri sokongan penuh kepada SPRM supaya apa yang berlaku terdedah sepenuhnya supaya rakyat tahu,” katanya.

Terdahulu, Tengku Adnan mendedahkan bahawa beliau telah dipanggil lebih 12 kali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung transaksi tanah milik DBKL melibatkan pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Berdasarkan jawapan SPRM itu, kementerian difahamkan bahawa siasatan terhadap penjualan tanah itu masih dijalankan, hasil siasatan SPRM di luar bidang kuasa kementerian, persoalan sekiranya terdapat unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam transaksi ini lebih sesuai dijawab SPRM,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang meminta kementerian menyatakan secara terperinci transaksi penjualan tanah DBKL yang terdapat unsur-unsur penyelewengan dan melibatkan pecah amanah.

Khalid berkata kementerian telah mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Khas (Task Force) untuk meneliti keseluruhan 97 transaksi tanah DBKL itu.

Hasil siasatan dan perbincangan jawatankuasa berkenaan dengan syarikat yang terlibat dengan transaksi tanah DBKL, sebanyak 43 daripada 97 transaksi tanah diteruskan mengikut perjanjian asal kerana tiada sebarang isu berbangkit, malah mencatat nilai transaksi lebih tinggi iaitu RM1.642 bilion harga jualan berbanding RM1.433 bilion harga nilaian, katanya.

Katanya 14 transaksi tanah melibatkan keluasan 53.98 ekar (21 hektar) dibatalkan dengan persetujuan syarikat manakala 15 transaksi tanah dengan keluasan 145.79 ekar (58 hektar) dirunding semula dan memperoleh tambahan hasil kepada DBKL sebanyak RM149 juta. – UMNOPutrajaya