Ucapan

Guru Penjana Transformasi Pendidikan – Selamat Hari Guru

Assalamualaikum

Hari ini, warga pendidik meraikan sambutan Hari Guru yang bertemakan ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan’. Sebagaimana temanya, sesungguhnya tugas guru bukanlah mudah sebaliknya pelbagai tuntutan terpaksa diharungai dengan cabaran dan rintangan dilalui dalam mengaplikasikan tugas rencam seorang pendidik.

Bagi seorang guru, produk yang berkualiti bukan hanya seorang pelajar yang cemerlang yang mampu dihasilkan daripada bilik darjah tetapi apa yang lebih penting adalah hasil pemikiran kreatif dan rasional dalam menghadapi masa hadapan. Tanggungjawab ini sebenarnya bergantung sepenuhnya kepada kualiti yang ada pada pengajaran dan pembelajaran selain kemahiran seorang guru itu sendiri.

Sehubungan itu, objektif sambutan hari guru ini antara lain ialah menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan perpaduan dan integrasi serta pembangunan negara. Di samping itu ia memberi sumbangan perkhidmatan kepada pembinaan sosio masyarakat dan secara langsung dapat meninggikan martabat dan taraf guru di mata masyarakat yang menghadapi situasi makin mencabar sekarang.

Justeru, tugas guru bukan hanya terbatas sebagai agen pendidik di dalam kelas tetapi mereka jugalah yang dapat merialisasikan sebagai agen perpaduan dan integrasi dalam memupuk semangat cintakan tanah air ini.

Terima kasih guru.