Berita

Aidiladha Bersama Rakyat

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan merangkap Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor telah meluangkan masa untuk bersama-sama masyarakat bagi meraikan Aidiladha dengan melaksanakan ibadah korban melalui Program Korban Perdana.

Sebanyak 43 ekor lembu telah dikorbankan yang dilaksanakan secara gotong-royong melibatkan warga Putrajaya dilaksanakan di Presint 16.

“Terlalu banyak pengajaran yang dapat diteladani melalui kisah pengorbanan apatah lagi apabila menyelami kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya Nabi Ismail sebagai korban kepada Allah S.W.T.

“Bersyukurlah kita kerana terus diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk mengecap nikmat kehidupan dalam suasana negara sejahtera, aman damai tanpa sebarang huru-hara selain kurnian rezeki yang pelbagai sedangkan saudara-saudara kita di Palestin, Somalia dan di negara-negara bergolak terus menderita,” katanya.

Jelasnya, sifat pengorbanan dari pelbagai aspek seperti harta, masa dan kehidupan peribadi perlu disemai dan dibajai sebagai pendorong dalam kehidupan agar dapat memudahkan pergerakan seharian.

“Ketulusan dan keikhlasan untuk membersihkan jiwa perlu ada dengan bersama-sama melaksanakan ibadah yang dituntut Ilahi agar kita terus beroleh keberkatan dan keredhaan dari Allah SWT.”