Berita

Karnival WOW! Putrajaya Kembali Lagi (24-26 Februari)

PUTRAJAYA. – Selepas kejayaan mencatat kehadiran penonton yang sangat menggalakkan tahun lalu, Karnival Wow! Putrajaya, kembali lagi tahun ini dengan pelbagai acara menarik untuk disertai.

Karnival yang diadakan selama tiga hari berturut-turut itu akan bermula pada 24 hingga 26 Februari ini bertempat di Sisiran Tasik Putrajaya, Presint 2.
Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, karnival kali ini sangat bermakna kerana ia akan turut diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari.

Menurutnya, ia juga bertujuan menjadikan Putrajaya sebuah bandar ceria, memenuhi aspirasi kehidupan dan menjadi dambaan setiap warganya.

Karnival kali ini akan lebih menarik apabila pameran yang diadakan lebih menyeluruh selain pelbagai gerai jualan dan acara-acara lain yang menjanjikan pengalaman menyeronokkan bagi seisi keluarga akan diadakan.

Antara program menarik disediakan adalah persembahan pertunjukan bunga api, Hot Air Ballon, F1 Simulator, Pameran Kesenian dan Kebudayaan Antarabangsa, RC Demo, Upin dan Ipin, Vintage Car, Tatu Angkatan Tentera Malaysia, Ferrari Auto Show, Sukan Rakyat, Futsal, Bridal Showcase, pertandingan karaoke dan banyak lagi acara lain.

Turut sama akan mengadakan persembahan untuk carnival ini ialah barisan artis terkenal tanah air menampilkan M.Nasir, Ella, Ramli Sarip, Hazama, Stacy, Mila dan Meet Uncle Hussein.