Ucapan

Manifestasi Keharmonian Rakyat Dalam Maulidur Rasul 1433H

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam 1Malaysia

Alhamdulillah, bersyukur kita ke atas Allah SWT kerana atas limpah dan kurnia-Nya kita dapat terus merasai kenikmatan dalam keamanan dan kesejahteraan Negara untuk bersama-sama menyambut kedatangan Maulidur Rasul yang merupakan antara tarikh penting dalam kalendar Islam iaitu kelahiran baginda Rasulullah Nabi Muhammad SAW.


Sesungguhnya kelahiran baginda adalah satu detik istimewa yang amat bermakna buat umat Islam sebagaimana tiap kali datangnya tanggal 12 Rabiulawal yang sentiasa diraikan dan rasa kesyukuran atas keberkatan umat Islam selama ini.

Apa yang pasti, Rasulullah SAW adalah contoh terbaik malahan sirah baginda telah membuktikan bahawa baginda amat mengutamakan perpaduan dan keharmonian antara umat sebagaimana masyarakat berbilang kaum dan pelbagai agama di Madinah yang disatukannya. Iktibar darinya, kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama juga dituntut untuk sama-sama memelihara keharmonian dan kesinambungan kesejahteraan dalam aspek kesatuan dalam kepelbagaian.

Justeru, marilah kita jadikan sambutan Maulidur Rasul tahun ini sebagai manifestasi untuk terus memperkukuh ukhwah, memperkuat ikatan perpaduan demi kemajuan sejagat dan kesinambungan berterusan Islam di tanah air kita. Allahu Akhbar.

DATUK SERI UTAMA TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Ahli Parlimen / Ketua UMNO Bahagian Putrajaya
3 Feb 2012