Mahasiswa Jangan Terpedaya Dakyah Pembangkang
PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor merasmikan program aman kampus kembara mahasiswa bersama masyarakat di sini dengan harapan agar golongan yang berpendidikan yang menjadi harapan Negara khususnya mahasiswa bijak berfikir dan membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan sesuatu perkara.
Mahasiswa diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang sengaja memburuk-burukkan segala dasar dan pelaksanaan kerajaan sejak negara mencapai Merdeka.
“Bila kita dirasuk atau diracuni pemikiran sehingga kadang-kala kita tidak ada timbangtara langsung. Jadi kita mesti gunakan akal kita untuk membuat timbangtara sebab mahasiswa nak idealisme-idealisme yang tertentu tetapi kita juga mesti gunakan akal kita untuk membuat apa yang kita patut hendak buat,” katanya.
Beliau berkata tindak tanduk mahasiswa yang keterlaluan juga tidak sama sekali menjejaskan nama baik universiti dan ketenteramaan awam negara ini.
Kembara mahasiswa yang bermula hari ini (Isnin) akan berakhir di Puncak Alam, Selangor selepas 14 hari menjelajah meliputi 14 perhentian di Semenanjung dengan mengumpulkan pandangan dan keinginan masyarakat di negara ini untuk disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya sebagai kerajaan yang prihatin dan utamakan kebajikan rakyat, kerajaan sedia mendengar ketidakpuasan, rungutan, cadangan dan idea mahasiswa serta melakukan penambahbaikan sekiranya perlu.
Ujarnya, berkata pembangkang telah mewujudkan satu unit tindakan daerah di seluruh negara bagi meracuni fikiran dan memecah belahkan rakyat.
“Mereka ini diasuh oleh orang tertentu untuk memecah belahkan masyarakat. Mereka masuk dalam kawasan tertentu iaitu kawasan sasaran yang mereka menang nanti dan mereka akan racun pemikiran rakyat,” katanya.
Seramai 190 orang mahasiswa dengan menaiki 20 kereta, menyertai kembara itu yang dianjurkan alumni pemimpin mahasiswa Aspirasi Malaysia.