Berita

‘Water4Gaza’ Jelajah Keamanan Wilayah Persekutuan Bermula Di Putrajaya

PUTRAJAYA – Majlis Pelancaran Jelajah Keamanan dan Wakaf ‘Water4Gaza’ peringkat Wilayah Persekutuan bermula dengan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal di Dewan Persidangan Perbadanan Putrajaya, Presint 3, 28 Februari.

Pemegang Amanah Perdana Global Peace Foundation (PGPF), Tan Sri Dr. Samsudin Hitam berkata, sehingga kini PGPF berjaya menjual kira-kira 400,000 botol air minuman melalui program jelajah keamanan dan wakaf ‘Water4Gaza’ yang dilancarkan di Melaka dan Perak pada tahun lalu.

Katanya, inisiatif itu bertujuan menunjukkan keprihatinan rakyat negara ini terhadap kekejaman dan kezaliman akibat peperangan dan pencerobohan tanpa provokasi ke atas negara lain.

“Hasil jualan akan digunakan untuk membeli air di Mesir sebelum diagihkan ke Gaza, kita mempunyai masalah untuk membawa 1.5 juta botol air ke Gaza oleh itu jika pendekatan ini digunakan ia lebih menyenangkan.

“Kita akan melaksanakan projek ini sebaik sahaja dana yang diinginkan berjaya dikumpul, jika masyarakat prihatin yang ingin memberi lebih kita tidak akan menolak,” katanya.

Menurut Samsudin, program yang memberi fokus kepada penuntut universiti dan belia itu bermatlamat melahirkan kesedaran serta mendorong golongan muda supaya mengubah persepsi tentang peperangan dan keamanan.

Konvoi tersebut berakhir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan disambut oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan berkata, diharapkan dengan siri konvoi jelajah itu nanti dapat menyedarkan rakyat negara ini bahawa pentingnya keamanan dalam sesebuah negara.

“Situasi di Gaza harus menjadi pengajaran kepada semua pihak. Janganlah kita membuat onar yang hanya akan memecahbelahkan perpaduan dalam negara,’’ tambahnya.

PGPF akan menghantar 1.5 juta botol air mineral kepada penduduk Gaza dalam masa terdekat.

Bantuan itu dilaksanakan berikutan kesukaran penduduk di negara tersebut mendapatkan sumber bekalan air bersih ekoran air kumbahan yang mengalir ke Laut Mediterranean telah mencemarkan perairan serta bekalan air bersih di kawasan sekitarnya.