Ucapan

Syukuri Nikmat Allah, Jauhi Agenda Samseng Pembangkang

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam 1Malaysia

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah dan kurnianya banyak perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan jayanya termasuklah sambutan Hari Keluarga Parlimen Putrajaya 2012 yang bertemakan ‘We Love Putrajaya’ Sabtu lalu.

Sememangnya, kehadiran pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama dalam program sehari di Stadium Pancarona memberi suntikan besar kepada saya dan anggota jawatankuasa parti dalam memastikan kesinambungan pentadbiran serta kepimpinan Barisan Nasional berterusan.

Lebih dari itu, saya turut berbangga dan mengucapkan syabas kepada ahli-ahli UMNO Putrajaya yang turut serta sebagai jentera bagi Pilihan Raya Umum peringkat Wilayah Persekutuan yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perhubungan UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional WP.

Mesej jelas yang disampaikan dalam majlis pelancaran tersebut mengenai ‘sokong siapa saja calon BN’ demi kemenangan parti bukannya calon yang bertanding apatah lagi pihak pembangkang sentiasa saja menunggu ruang dan peluang bagi menyusup masuk untuk cuba mengubah idealogi kita.

Saya pasti, ramai pihak yang sedar dengan agenda pembangkang khususnya Pas yang telah mula melakukan aktiviti tidak sihatnya di sekitar Putrajaya termasuklah menggunakan pembesar suara di kawasan-kawasan orang awam bagi melemparkan tohmahan dan propaganda berkaitan kerajaan.

Sesungguhnya tindakan mereka tidak selari dengan kemodenan dan perkembangan semasa sebagaimana Putrajaya yang telah maju dan membangun tetapi malangnya pemikiran anggota Pas ini seakan tidak bertamadun apabila sanggup menjejrit dan melakukan kekacauan antaranya di medan selera yang dikunjungi bukan hanya orang tempatan tetapi juga pengunjung dari luar.

Wajah Putrajaya yang aman dan tenang tidak perlu dirobekkan dengan tindakan ala samseng pembangkang apatah lagi parti tersebut menggunakan Islam sebagai idealogi poltik sedangkan apa yang dilakukan jauh menyimpang daripada kewarasan insan beriman.

Justeru, saya menyeru kepada semua warga Putrajaya dan masyarakat tempatan agar tidak terpedaya dengan tindakan yang menentang arus dan berlawanan dengan akidah kita apatah lagi kenikmatan dan kesejahteraan yang kita rasai perlu terus disyukuri dengan berusaha bersama-sama bagi kesinambungan kemakmuran negara.

DATUK SERI UTAMA TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Ahli Parlimen / Ketua UMNO Bahagian Putrajaya
19 Mac 2012