Kunjungi Floria 2012 Di Putrajaya, ‘Bunga Kertas – Tetap Menawan’
PUTRAJAYA – Bertemakan Bunga Kertas-Tetap Menawan (Bougainvillea-Enduring Beauty), Floria 2012 berlangsung di pesisiran Tasik Presint 2 selama sembilan hari bermula 30 Jun hingga 8 Julai 2012.
Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah telah mencemar duli menyempurnakan perasmian Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2012) di sini.
Seri Paduka turut meluangkan masa hampir sejam setengah untuk melawat pameran yang dikendalikan oleh kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Perbadanan Putrajaya (PPj).
Floria 2012 ini turut menempatkan kawasan pavilion pelbagai gubahan bunga yang menarik dan berwarna-warni oleh peserta tempatan dan antarabangsa termasuk dari China, Hong Kong, Jepun, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Lebih 400,000 pokok dari pelbagai spesies dan bunga-bungaan serta tanaman hiasan dari kawasan tropika dan sub-tropika dihimpunkan sepanjang tempoh pameran.
Waktu pameran Floria 2012 untuk hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam manakala hari Jumaat hingga Ahad dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam dan masuk adalah percuma.