Berita

Pilih Tengku Adnan, Jangan Pilih Penipu Yang Jahanamkan Negara – Daim

IMG_10331
PUTRAJAYA – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyeru penduduk tempatan khususnya para pengundi yang bakal melaksanakan tanggungjawab pada 5 Mei ini untuk memilih calon Barisan Nasional bagi memastikan Putrajaya kekal maju dan makmur.

Katanya, beliau percaya Tengku Adnan yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Putrajaya pada PRU-12 mampu untuk menyelesaikan masalah penduduk Putrajaya berdasarkan kepada cara dan pendekatan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN.

“Tidak ada sebab untuk memilih calon lain. Tengku Adnan boleh menyelesaikan masalah penduduk Putrajaya kerana dia Setiausaha Agung UMNO, sementara Perdana Menteri adalah Presiden UMNO. Maka mudah untuk Tengku Adnan menyelesaikan masalah.

“Saya kenal calon Pas, Datuk Husam Musa, namun antara Husam dan Tengku Adnan, saya pilih Tengku Adnan,” kata beliau dalam majlis Ceramah Perdana dan Ramah Mesra dengan penduduk Presint 8.

Beliau menegaskan bahawa pakatan pembangkang mempunyai banyak cerita yang negatif dengan pemimpin-pemimpin antara ketiga-tiga parti mempunyai karektor dan matlamat berbeza.

“Pembangkang ada macam-macam cerita. Anwar dengan cara Anwar yang saya memang sudah kenal lama, tapi 17 tahun saya telah ditipu. Banyak putar belitnya, depan tak kena, belakang tak kena, buat janji macam-macam. Bila jumpa kaum Cina bercakap apa yang kaum Cina suka dengar, macam itu juga kaum India dan paling teruk di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang.

“Rakyat telah beri peluang kepada parti pembangkang tetapi malangnya apa yang telah mereka buat? Tengok sendiri di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, macam itu juga di Kelantan. Janganlah pilih kerajaan yang bakal jahanamkan negara.

“DAP lebih teruk lagi. Kira-kira pun mereka tidak pandai sebagaimana Pemilihan CEC Dap pun salah kira dan apabila pendaftar pertubuhan (ROS) suruh buat sekali lagi mereka tak mahu,” bidasnya lagi.

Daim menegaskan tidak ada kerajaan yang seratus peratus sempurana ini termasuk kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Walaupun ada kesilapan akhirnya kerajaan pimpinan BN yang membawa keamanan, kemakmuran, kestabilan. Tanpa kestabilan tak ada orang datang melabur,” kata beliau.

Ujarnya, pembangkang hanya menaburkan janji-janji kosong sebagaimana Anwar yang menjanjikan untuk membawa pelaburan bernilai 20 bilion di Selangor apabila dilantik menjadi Penasihat Ekonomi Negeri terbabit tetapi malangnya sehingga ke hari ini gagal.

“Kenapa Anwar tidak jadi penasihat ekonomi di Kelantan? Dan hari ini mereka datang ke Putrajaya kerana di sini ada kemajuan tapi tidak ada di Kelantan.

“Jangan terpengaruh dengan janji-janji mereka. Kalau kita tidak pertahankan institusi kita siapa lagi sedangkan pembangkang memburukkan semua institusi yang kita ada, kutuk polis, kutuk tentera, sebut penjawat awam sebagai kera dan macam-macam lagi.”

Oleh itu, beliau menggesa rakyat untuk menolak pakatan pembangkang dan calon Pas di Putrajaya, Husam yang langsung tidak pernah ambil tahu tentang kedudukan masyarakat apatah lagi untuk memberikan sumbangan.