Rakyat Muak Fitnah, Taktik Kotor Pembangkang – Tengku Adnan
PUTRAJAYA – Setiausaha Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas pakatan pembangkang yang menggunakan taktik kotor dalam kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Katanya, pakatan pembangkang tentunya menyangka bahawa taktik kotor yang dilakukan mereka akan memberi pulangan sedangkan yang berlaku adalah sebaliknya.
“Taktik-taktik kotor yang dilakukan oleh pihak pembangkang ini sebenarnya memberi pulangan kepada BN kerana mereka telah menaburkan fitnah selain melakukan pelbagai karenah dalam kawasan-kawasan Parlimen di seluruh negara sehinggakan menaikkan papan-papan tanda yang bukan kita buat tapi kata kita lakukan.
“Mereka ingat mereka akan mendapat pulangan tetapi rakyat sedar dan sudah muak dengan apa yang mereka telah lakukan.”
Dalam masa yang sama beliau turut mengulas berkaitan Deklarasi Putrajaya 2013 yang diumumkan pakatan pembangkang sempena Hari Pekerja semalam.
“Saya percaya bahawa rakyat Putrajaya tidak akan percaya dengan apa yang mereka sebut kerana mereka ini pembohong dan mereka tahu sebagaimana dengan apa yang berlaku di Kampung Buah Pala apabila Anwar Ibrahim sendiri sebut kalau menang akan selesaikan masalah mereka tetapi akhirnya tidak diselesaikan yang akhirnya memaksa campurtangan BN.”
Deklarasi pakatan pembangkang mengandungi 13 perkara, antaranya bayaran gaji berasaskan bilangan minggu dalam setahun, pinjaman perumahan tanpa faedah, pendidikan mesra penjawat awam dengan memberi pendidikan Kelas Fardhu Ain (Kafa) secara percuma di sekolah kebangsaan selain belajar semasa tempoh berkhidmat, serta menyerap kakitangan awam kontrak, sementara dan singkat menjadi khidmat tetap.
“Deklarasi ini juga ibarat janji Kampung Buah Pala. Saya berkeyakinan penduduk Putrajaya tidak akan tertipu dengan janji ini. Kita sedang merangka, merancang dan telah berbincang dengan Pengerusi Ceupecs dan ada 27 perkara yang sedang cuba diselesaikan,” tegasnya lagi
Beliau berkata demikian selepas melepaskan acara berjalan kaki penjawat awam di hadapan Perbadanan Putrajaya, di sini Khamis.
Beliau yang juga calon P.125 Putrajaya turut melahirkan keyakinan terhadap BN selepas melalui tempoh berkempen selama 12 hari.
“Saya berkeyakinan BN akan menang dan mengekalkan kerajaan dan kita akan capai target lebih dari dua pertiga kerusi Parlimen serta mendapat kembali sekurang-kurangnya negeri yang kita kalah dahulu.”
Dalam kenyataan berlainan beliau turut membidas tindakan pembangkang yang mempertikaikan berkaitan pengundi luar walhal mereka adalah sah berdaftar sebagai pengundi.
“Pakatan pembangkang mempertikaian berkaitan keadilan dalam sistem pengundian dengan mengaitkannya dengan sistem demokrasi di Malasia sedangkan ia sengaja ditimbulkan untuk mewujudkan kekeliruan dalam berdepan pilihan raya. Mereka ibarat telah melakukan persediaan untuk alasan sekiranya mereka kalah dalam pilihan raya ini,” bidasnya lagi.
You must be logged in to post a comment.