Maidatul Rahman Kembali Imarahkan Ramadan Al-Mubarak
PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjemput semua umat Islam termasuk para penduduk dan pengunjung Putrajaya untuk bersama-sama memeriahkan acara tradisi sempena bulan Ramadan dengan program Maidatul Rahman yang berkonsepkan berbuka puasa bersama-sama.
“Alhamdulillah, kita dapat meneruskan program berbuka puasa sebagaimana yang telah berlangsung tahun-tahun yang lalu dalam suasana aman dan sejahtera yang sewajarnya sentiasa disyukuri,” katanya.
Ujarnya, selain menunaikan ibadah dan mengambil keberkatan dalam bulan barakah ini program tersebut bukan saja dapat memupuk semangat kerjasama dan perpaduan tetapi ia juga mencetuskan keinsafan dan kesedaran di kalangan masyarakat khususnya golongan musafir.
Maidatul Rahman yang bermula pada 1 Ramadan berlangsung setiap hari sepanjang bulan ini di Medan Selera Presint 8.
“Program ini juga penting untuk mengeratkan hubungan silaturrahim warga Putrajaya selain amalan gotong-royong yang dilakukan dalam penyediaan juadah serta dapat menyemarakkan amalan bersedekah pada bulan mulia ini,” ujarnya lagi.