Terima Kasih Jayakan Maidatul Rahman, Perkukuh UMNO Dalam Persidangan Cawangan
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyampaikan ucapan penghargaan kepada warga tempatan dan masyarakat yang memberikan sokongan kepada program Maidatul Rahman yang telah berlangsung sejak 1 Ramadan dan berakhir pada 20 Ramadan (Isnin).
“Konsep Maidatul Rahman yang dilaksanakan secara gotong-royong dan sukarela dari para penduduk khususnya ahli-ahli UMNO Bahagian ini amat membanggakan apabila proses keseluruhan dalam penyediaan juadah disempurnakan sendiri yang bermula dari memasak, menghidang dan menjamu para pengunjung,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut berpesan kepada ahli-ahli UMNO yang bakal berdepan dengan persidangan cawangan UMNO di bahagian terbabit agar menggunakan konsep musyawarah dan perbincangan dengan ikatan silaturrahim terus dipererat.
“Tahun ini kita berdepan dengan pemilihan parti. Oleh itu saya amat berharap agar anggota UMNO akan memperteguh parti dengan melaksanakan tanggungjawab berdasarkan Perlembagaan UMNO termasuklah kepada mana-mana pihak yang bersedia untuk mencalonkan diri dalam pertandingan.
“Apa yang paling penting, sifat kekitaan, saling menghormati dan mempunyai ikatan yang kukuh untuk terus memperteguh UMNO, memastikan bahawa tidak ada berlaku perpecahan dalam pemilihan jawatan dan perbincangan ke arah masa depan terbaik untuk parti terus diutamakan.”
Beliau berkata demikian dalam majlis berbuka puasa bersama Ahli Parlimen Putrajaya dan majlis penutup Maidatul Rahman di Medan Selera Presint 8, semalam (29 Julai).
Jelas beliau, anggota parti perlu terus memberikan sokongan kepada pucuk pimpinan parti sama ada di peringkat pusat, bahagian dan cawangan dalam memastikan kelestarian dan perpaduan UMNO terus dipelihara.
“Untuk jawatan ketua wanita bahagian saya berharap agar tidak ada pertandingan sebaliknya untuk jawatan ketua pemuda dan ketua puteri maka sewajarnya ia diganti memandangkan antara mereka sudah melepasi kelayakan yang ditetapkan namun demikian, biarlah ia berlangsung secara tersusun dengan mereka yang layak diberi
tanggungjawab bagi mengelakkan perpecahan.”
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO merangkap Menteri Wilayah Persekutuan turut menyokong agar dua jawatan tertinggi dalam parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Dalam majlis tersebut beliau turut mengagihkan hadiah aidilfitri kepada cawangan-cawangan dan juga persediaan dalam program hari raya akan datang.