Ucapan Setiausaha Agung UMNO
BISMILLAHHIRRAHMANIRRAHIM
• Saudara dan Saudari Pengacara
• Yang Berbahagia Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO
• Yang Berhormat Datuk Mohamed Aziz, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO
• Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Presiden UMNO bersama Yang Amat Berbahagia Datin Sri Paduka Rosmah Mansor
• Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Presiden UMNO bersama Yang Amat Berbahagia Puan Sri Norainee Abdul Rahman
• Yang Berhormat Naib-Naib Presiden UMNO dan Ketua-ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta barisan Exconya
• Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Bendahari UMNO
• Yang Berhormat Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO
• Yang Amat Berhormat dan Yang Berhormat Tan Sri, Datuk Seri, Datuk-datuk Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO
• Yang Berhormat Tan Sri, Datuk Seri, Datuk-datuk Presiden Parti-parti komponen Barisan Nasional
• Yang Berbahagia Presiden Parti dan NGO serta Friend’s of Barisan Nasional
• Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
• Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi bersama Tun Jeane
• Yang Berbahagia Tun-Tun, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-datuk dan para jemputan khas yang dihormati
• Delegasi parti-parti luar negara dan wakil-wakil kedutaan asing serta wakil duta negara-negara jemputan
• Wakil dan pemerhati kelab-kelab UMNO Luar Negara
• Para media massa, Sidang Perwakilan dan para pemerhati yang saya hormati sekalian.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA
1. Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kerana atas limpah dan kurnia Allah SWT kita dapat bersama-sama berkumpul dan menunaikan tanggungjawab sebagai ahli UMNO selaras dengan amanah yang termaktub dalam Perlembagaan parti serta memenuhi perundangan dari Akta Pertubuhan.
2. Sebelum saya teruskan, saya menyeru para perwakilan sekalian untuk sama-sama mendoakan kesihatan YB Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang tidak sihat dan tidak dapat bersama-sama kita hari ini. Semoga beliau akan segera pulih dan dikurniakan kesihatan untuk bersama-sama meneruskan perjuangan parti.
Para Perwakilan sekalian,
3. Saya sebagai Setiausaha Agung UMNO memohon para perwakilan untuk berdiri. Marilah kita sama-sama mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan kepimpinan Majlis Tertinggi UMNO yang diterajui oleh Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kerana berjaya mengekalkan mandat kepimpinan, bersama Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu. Tahniah juga kepada barisan kepimpinan Exco pergerakan sayap, Ketua-ketua UMNO bahagian dan cawangan, serta ahli-ahli UMNO keseluruhannya kerana telah berjaya untuk mempertahankan kedudukan masing-masing dalam pemilihan UMNO.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden
4. Saya mohon keizinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri untuk melaporkan bahawa segala persiapan bagi melaksanakan Perhimpunan Agung UMNO berlangsung lancar. Persiapan ini bermula dari akar umbi iaitu di peringkat cawangan dan bahagian yang meliputi keseluruhan ahli termasuklah Pergerakan Sayap UMNO. Tanggungjawab ini dibuat berpaksikan kepada apa yang telah digariskan dalam Perlembagaan UMNO dan Peraturan Persidangan parti.
5. Dilaporkan juga, jumlah perwakilan UMNO yang hadir dalam persidangan hari ini ialah seramai 2,739 orang.
6. Berkumpulnya kita pada hari ini adalah hasil daripada satu manifestasi perjuangan selepas melalui cabaran besar sepanjang tahun 2013. Pada 5 Mei lalu, UMNO berdepan dengan cabaran politik sebenar iaitu Pilihan Raya Umum ke-13. Getirnya laluan, peritnya perjalanan dan sukarnya berdepan dugaan semuanya diketepikan demi memastikan kelestarian UMNO. Biarpun kedudukan Barisan Nasional merosot namun syukur Alhamdulillah, kerana UMNO terus menjadi aspirasi dalam menerajui mandat kerajaan bersama Barisan Nasional. Bilangan kerusi UMNO bertambah daripada 79 kepada 88 selain berjaya mengembalikan semula mandat Barisan Nasional di Negeri Kedah dan Perak. Tahniah kepada calon-calon Barisan Nasional yang dianggap sebagai ‘pasukan transformasi’ dan anggota jentera yang telah memperlihatkan kesungguhan dalam membawa perubahan dan kemajuan dengan menyelami permasalahan rakyat berdasarkan matlamat kerajaan. Kita akan teruskan perjuangan, kita akan terus bekerja tanpa lalai kerana sedar bahawa sedikit kesilapan, natijahnya agama, bangsa dan negara menjadi bahana.
7. Pemilihan UMNO 2013 buat julung kali mengaplikasikan pindaan yang dibuat pada 2009 melibatkan seramai 146,500 orang pemilih bermula di peringkat cawangan hinggalah kepada peringkat pusat. Syukur, alhamdulillah. UMNO dapat melaksanakan pembaharuan dan perubahan. Pembaharuan pemilihan UMNO ini adalah bukti jelas bahawa pemimpin UMNO tidak gentar dan terbuka untuk dicabar dan dinilai oleh anggotanya berlandaskan kepada kerja dan amanah yang telah dilaksanakan. Atas kelancaran pemilihan tersebut, kita rakamkan ucapan penghargaan terima kasih kepada barisan Jawatankuasa Pemilihan dan anggotanya serta semua yang terlibat dalam memastikan pemilihan UMNO menjadi realiti. Sudah tentu ada kesilapan dan kekurangan dalam kita laksanakan pembaharuan. Tidak kurang juga pasti ada yang terasa, tersinggung dan terguris dalam pelaksanaan pemilihan UMNO baru-baru ini. Oleh itu, saya mewakili kepimpinan UMNO dan pegurusan Ibu Pejabat parti ingin memohon maaf atas segala ketidaksempurnaan yang telah berlaku. Kita akui masih ada kekurangan yang boleh diperbaiki namun kejayaan pemilihan tersebut adalah satu lagi terjemahan kesungguhan anggota parti untuk terus memastikan UMNO relevan sepanjang zaman.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan Sidang Hadirin Sekalian
8. Dilaporkan kedudukan keahlian UMNO sehingga 4 Disember 2013, jumlah ahli yang dicatat ialah 3,430,750 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,208. Bilangan ahli teramai iaitu 518,773 orang diterajui oleh Negeri Sabah manakala Bahagian yang mencatat bilangan ahli tertinggi ialah Silam Sabah, dengan jumlah ahli seramai 49,880 orang sementara keahlian cawangan teramai dengan jumlah ahlinya 1,855 orang masih juga didahului oleh Kampung Tinosa Jaya /Libaran.
9. Dalam menjayakan persidangan ini, pelbagai program diadakan sebagai pembuka tirai. Forum Antarabangsa yang menjadi acara tahunan sejak tiga tahun lalu diadakan pada 2 dan 3 Disember lalu, dengan tema ‘politik kesederhanaan’. Ini adalah selaras dengan apa yang dipraktikkan UMNO sebagai sebuah parti politik yang mempunyai struktur kukuh, diiktiraf oleh pelbagai pihak dan mempunyai ikatan diplomatik dengan parti-parti lain di peringkat antarabangsa.
10. Dilaporkan dalam perhimpunan kali ini, kita menerima delegasi luar negara seramai 103 orang delegasi mewakili 28 parti melibatkan 20 buah negara. Dengan ini, kita mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan parti dari peringkat antarabangsa:
1. AZERBAIJAN
NEW AZERBAIJAN PARTY
2. BANGLADESH
BANGLADESH AWAMI LEAGUE
BANGLADESH NATIONALIST PARTY
3. CAMBODIA
CAMBODIAN PEOPLE’S PARTY
FUNCINPEC PARTY, CAMBODIA
4. CHINA
COMMUNIST PARTY OF CHINA
5. EGYPT
FREEDOM JUSTICE PARTY (FJP)
6. INDONESIA
PARTAI DEMOKRAT
PARTAI GOLKAR (GOLONGAN KARYA)
PARTI DEMOKRASI INDONESIA PERJUANGAN
PARTI KEADILAN SEJAHTERA
7. JORDAN
THE HASHEMITE KINGDOM OF JORDAN
8. KAZAKHSTAN
NUR OTAN PARTY
9. KENYA
WIPER PARTY
10. KURDISTAN
KURDISTAN DEMOCRATIC PARTY
11. NORTH KOREA
WORKER’S PARTY OF KOREA
12. LAO
LAO PEOPLE’S REVOLUTIONARY PARTY (LPRP)
13. MOROCCO
POPULAR MOVEMENT PARTY
14. PHILIPPINES
LIBERAL PARTY
MORO ISLAMIC LIBERATION FRONT (MILF)
15. SINGAPORE
PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU SINGAPURA (PKMS)
PEOPLE’S ACTION PARTY (PAP)
16. TUNISIA
ENNAHDA MOVEMENT
17. UKRAINE
PARTY OF REGION
18. VIETNAM
COMMUNIST PARTY OF VIETNAM
19. NIGER
NIGERIEN PARTY FOR DEMOCRACY AND SOCIALISM- TARAYYA (PNDS)
20. PALESTINE
STATE OF PALESTINE
Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan hadirin perwakilan,
11. Dalam persidangan kita hari ini, kita turut mengalu-alukan penyertaan golongan muda yang tidak pernah kita nafikan termasuklah para penuntut di peringkat pengajian tinggi dari dalam dan luar negara yang kita himpunkan bersama para perwakilan dengan nama Mahasiswa Nasional.
12. Sukacita juga saya maklumkan bahawa sebanyak 118 agensi media cetak dan elektronik, terdiri daripada 102 media tempatan dan 16 buah media antarabangsa, yang melibatkan sejumlah 1,724 orang kru membuat liputan dalam Perhimpunan Agung ini.
13. Sehubungan itu, saya ingin menyeru para perwakilan sekalian termasuklah diri saya sendiri, dari peringkat kepimpinan tertinggi hinggalah ke akar umbi, marilah kita kembali dalam satu saf, rapatkan ukhwah, eratkan persaudaraan, akrabkan ikatan mesra dan toleransi dengan azam sepakat untuk memastikan kesinambungan perjuangan UMNO terus dihayati, marilah kita bekerja, marilah kita berusaha, marilah kita bermuafakat dari hari ini untuk kemenangan pilihan raya umum ke-14. Ingatlah apa yang telah disebut oleh Presiden kita bahawa kita mesti akur kepada KPI yang telah ditentukan. Bersatu, bersetia dan berkhidmat yang menjadi cogan katanya perlu terus sebati dalam gerak kerja. Ketepikanlah hasad dengki dan iri hati. Janganlah ada agenda peribadi atau kepentingan tertentu. Tetapkan tekad untuk UMNO demi perjuangan bangsa, agama dan negara.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden
14. Demikianlah laporan saya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri dan para perwakilan sekalian berkaitan dengan persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2013.
15. Maka dengan ini, dengan hormatnya saya persilakan Yang Berbahagia Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap UMNO Malaysia untuk mengambil tempat dan memulakan persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2013.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh