Selawat Perdana Malam Cinta Allah & Rasul Doakan MH370 Ditemui
PUTRAJAYA – majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul yang merupakan perhimpunan selawat terbesar pernah dianjurkan di pusat pentadbiran negara turut memanjatkan doa agar pesawat MH370 ditemui dengan segala kegelisahan dikalangan rakyat dapat dipadamkan.
Majlis yang berlangsung lancar di Dataran Masjid Putra, pada 21 Mac 2014 depenuhi alunan merdu bacaan qasidah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW oleh ratusan ribu rakyat yang hadir.
Majlis bertemakan ‘Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan’ itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Hadirin daripada pelbagai latar belakang dan usia menunaikan solat hajat serta bacaan doa dengan dipimpin oleh Datuk Seri Jamil Khir bagi memohon supaya operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dipermudahkan.
Program anjuran Sekretariat Selawat Perdana yang mendapat kerjasama Perbadanan Putrajaya itu berakhir dengan jayanya pada pukul 11 malam menerusi penglibatan dan sokongan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang serta fahaman politik.
You must be logged in to post a comment.