Berita

Hayati Perjuangan UMNO Dalam Mesyuarat Cawangan

PUTRAJAYA – Mesyuarat UMNO peringkat Cawangan Putrajaya bakal dilaksana sebagaimana tarikh yang telah diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti bermula dari 1 April hinggalah 18 Mei 2014. Mesyuarat tersebut dibuat sebagaimana tanggungjawab sebagai ahli UMNO selaras dengan amanah yang termaktub dalam Perlembagaan parti serta memenuhi perundangan dari Akta Pertubuhan.

Sehubungan itu, Ketua Bahagian UMNO Putrajaya merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengharapkan agar mesyuarat yang bakal diadakan di semua cawangan-cawangan di Putrajaya akan menjadi medan terbaik kepada ahli-ahlinya untuk merapatkan ukhwah dan keazaman di samping menyelami asas dan tujuan penubuhan UMNO sendiri.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan telah menyempurnakan majlis perasmian serentak cawangan-cawangan Putrajaya pada Isnin, 31 Mac 2014 lalu.

Selamat Bersidang.