Berita

Ke Mana Arah Melayu Bandar?

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA

• Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia
• Yang Berbahagia Datuk Raja Nong Chik Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan
• Barisan Kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan
• Ketua-ketua Bahagian dan Kepimpinan UMNO Bahagian-bahagian
• Pengerusi-pengerusi NGO dan kepimpinannya
• Wakil-wakil agensi-agensi kerajaan
• Para peserta konvensyen, ahli-ahli UMNO dan para petugas media massa serta tuan-puan sekalian

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana hari ini kita dapat berkumpul untuk merealitikan Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan, yang dibuat bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2014. Terlebih dahulu saya mewakili UMNO Wilayah Persekutuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Presiden kita, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang sudi bersama-sama untuk menjayakan Konvensyen ini.

2. Turut serta, kita mengalu-alukan kehadiran pemimpin masyarakat, M ajlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan, penjawat awam serta pertubuhan badan bukan kerajaan atau NGO yang sama-sama untuk memberikan sokongan kepada perjuangan kita demi agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya, kita berkumpul di sini adalah untuk membincangkan hala tuju kita, masa hadapan bangsa kita dan melihat realiti kita hari ini untuk masa akan datang.

YAB Dato Seri dan hadirin sekalian,

3. Kitalah golongan yang menghuni Ibu Kota, tinggal di tengah-tengah hutan batu yang amat pesat membangun, disebut Kota Metropolitan, mempunyai pelbagai kelengkapan, prasarana serba moden, canggih dengan kemudahan serta kehidupan yang dikelilingi masyarakat pelbagai kaum dan bermacam-macam budaya.

4. Namun, pernahkah kita fikirkan dalam situasi hari ini apakah matlamat masyarakat Melayu kita? Ke mana arah kita? Apa tujuan kita lantas persoalan dalam perjuangan parti yang kita dukung ini juga kita cari jawapannya: Ke Mana Arah Melayu Bandar? Inilah tema konvensyen kita hari ini.

5. Untuk mencari jawapannya, marilah kita cermin apa yang ada dalam diri kita dengan mengakui kedudukan UMNO di Wilayah Persekutuan ini malah memikirkan untuk apa perjuangan kita di sini?

6. Adakah kita selesa dengan pencapaian kita dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu? Cukupkah kita untuk bermegah menjadi ahli UMNO di bandar-bandar besar sedangkan realitinya kita gagal mengekalkan kuasa untuk mentadbir masyarakat kita, dengan menang pilihan raya umum. Kenyataannya memang pahit namun realitinya perlu kita hadapi. Keperitan Barisan Nasional bermakna kesakitan buat UMNO kerana:

UMNO bersepakat dalam Barisan Nasional.
UMNO mendukung kebersamaan Barisan Nasional.
UMNO mencapai kejayaan untuk Barisan Nasional.

7. Namun begitu, perjuangan UMNO tidak boleh dibiarkan malap sebaliknya ia perlu terus menyala, membakar marak bersemarak dengan asas dan tujuan UMNO iaitu sebuah parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

YAB Dato Seri, Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

8. Jika dikaji pula perkembangan dan perjalanan politik UMNO Wilayah Persekutuan secara langsung, menunjukkan kepimpinan Melayu sentiasa berhadapan dengan konflik dalaman dan luaran yang tidak kunjung padam.

9. Keadaan ini jelas menunjukkan ketidakstabilan dan kecelaruan dalam UMNO sendiri yang memberi kesan kepada penurunan sokongan rakyat terhadap parti dan kerajaan secara umumnya.

10. Perjuangan UMNO bermula sebelum kemerdekaan lagi kemudian diisinya dengan ilmu dan pendidikan agar kadar celik huruf mencapai tahap maksimum, lantas keluar dari arus kemiskinan. Satu demi satu kejayaan dicapai, bangsa Melayu kita mula meniti arus perubahan dan wujudnya generasi pasca-moden yang diibaratkan keluar dari kepompong untuk bangkit bersaing di dalam dan di luar negara.

11. Namun begitu, saya ingin mengingatkan ahli-ahli UMNO Wilayah Persekutuan, UMNO bukanlah parti batu loncatan yang menjadi tempat berpaut ketika berada dalam kesusahan. Perjuangan UMNO bukanlah untuk sementara atau hanya ketika susah sebagaimana menjadi sokongan kepada penghuni golongan sederhana, rumah-rumah setinggan atau golongan berpendapatan rendah sedangkan apabila tingkat hidup berubah, kesusahan bertukar menjadi kesenangan, rumah-rumah papan berganti dengan rumah-rumah batu yang semuanya hasil perjuangan UMNO melalui pelbagai dasar dari kerajaan Barisan Nasional, kemudiannya UMNO ditolak dan dipinggirkan.

12. Adakah UMNO sudah ditunjukkan jalan oleh rakyat untuk menjadi semakin tidak relevan dalam politik Malaysia? Inilah suara-suara dan hakikat semasa yang bermain di pelusuk masyarakat orang Melayu sama ada di bandar atau luar bandar mahupun yang muda atau yang tua. Lebih dari itu, ada segelintir pihak yang menyalahkan UMNO itu sendiri apabila gagal mendapat manfaat atau tidak dapat mencapai agenda peribadi.

13. Mereka anggap UMNO bukan sebagai parti perjuangan untuk semua sebaliknya ada matlamat sendiri, menjadikan UMNO sebagai paksi untuk cita-cita peribadi sehinggakan keburukan mereka ini mempalit nista bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada para pejuang yang benar-benar ikhlas lantas memberi kesan negatif kepada keseluruhan ahli UMNO dan orang Melayu.

14. Ada diantara kita yang disebut sebagai Melayu bandar ini mempunyai pemikiran yang amat memualkan. Kononnya berjiwa sofistikated sedangkan hakikatnya sanggup saling berbalah, cantas mencantas dan menidakkan peranan orang lain, takut kedudukan tercabar kerana mahukan pangkat dan kuasa terus kekal dalam tangan, tanpa memikirkan masa hadapan generasi seterusnya apatah lagi untuk mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara.

15. Kenapa tingkah semua ini ada dalam kalangan kita sedangkan UMNO itu sendiri terbina dari teras yang berpaksikan keikhlasan? Pemimpin terdahulu mewujudkan UMNO dengan semangat perjuangan.

16. Kita nafikan semua yang buruk, kita katakan ini semua persepsi pembangkang tetapi dalam masa yang sama kenapa ada diantara kita yang sanggup mengaut kesenangan atas keperitan golongan yang benar-benar ikhlas memberi sokongan kepada kita. Tentunya kita tidak mahu mengakui setiap yang buruk yang diperkatakan tentang kita, berkaitan para pemimpin kita, berkaitan parti kita malah kita berasa malu dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan, namun apakah usaha kita?

17. Ini kerana kesan daripada terhakisnya intipati perjuangan UMNO dalam diri ahli UMNO sendiri.

YAB Dato Seri dan Para Hadirin sekalian,
18. UMNO memang parti politik tetapi kita tidak bersandiwara dalam politik kerana perjuangan kita jelas untuk agama, bangsa dan negara. Fokus kita adalah dari rakyat, kerana rakyat, untuk rakyat, dan kita sentiasa sedar bahawa:
kewujudan UMNO adalah berpaksikan kepada sokongan rakyat,
kekukuhan UMNO adalah hasil permuafakan rakyat selaku anggota akar umbi,
matlamat UMNO terhasil daripada idealisme pemimpin untuk rakyat.
namun, masa hadapan UMNO adalah terletak pada perancangan kita untuk rakyat selaku generasi yang akan datang.

19. Justeru, kita perlu sedar bahawa dasar dan asas perjuangan UMNO secara hakikinya perlu disemat kembali bukan sahaja di bibir mahupun di atas helaian kertas tetapi dipersembahkan dalam bentuk penghayatan dan pengaplikasian.

20. Sehubungan itu, sukalah saya mengingatkan diri saya dan para perwakilan sekalian untuk bersama-sama mengajak ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi bagi melaksanakan anjakan dan perubahan melalui lima agenda yang bakal saya utarakan.

21. Perubahan ini bukan sahaja melibatkan sikap ahli UMNO Wilayah Persekutuan malah setiap komposisi wadah perjuangan UMNO Wilayah Persekutuan sama ada dari segi perancangan, struktur, pergerakan, penyatuan dan pendekatan yang lebih strategik dan selari dengan politik semasa.

Agenda Pertama – memperkukuh agama Islam
22. Kita adalah orang Melayu yang mendukung perjuangan agama, bangsa dan negara. Islam adalah agama kita yang tentunya kita sentiasa utamakan dalam apa jua keadaan.

23. Sememangnya kita akui bahawa masalah dan laluan kita amat mencabar, masa hadapan yang sukar diramal, berdepan arus moden dengan pemikiran masyarakat yang banyak dipengaruhi anasir luar selain wujudnya pelbagai aliran yang akhirnya membawa fahaman songsang dan bertentangan dengan agama kita. Masalah moral dan kepincangan sosial adalah perkara serius yang mesti ditangani bukan sahaja melalui penguatkuasaan tetapi penghayatan melalui pengukuhan agama.

24. Tugas ini bukanlah tanggungjawab individu tetapi ia adalah amanah yang perlu dilaksana secara kolektif. Bermula di rumah, di sekolah, di institusi pengajian tinggi, di tempat kerja, di luar rumah malah di mana-mana sahaja kita perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk sama-sama memastikan syiar Islam dilaksana dan dihayati mengikut al-quran dan as-sunnah.

25. Saya yakin kita mempunyai keupayaan untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan agama Islam. Kita aplikasikan pedekatan melalui pendidikan dengan penghayatan kepada Islam sebagai ad-din atau cara hidup kita.

26. Kita selami nilai-nilainya dan meninggalkan semua kemungkaran dalam usaha membanteras kepincangan sosial dalam Melayu bandar khususnya generasi muda. Tentunya kita tidak mahu menjadi bangsa Melayu yang menghuni kota metropolitan tetapi alpa dengan kefahaman agama. Untuk itu, marilah kita semua imarahkan surau-surau dan masjid-masjid yang tersergam indah di sekitar kediaman kita, bersama-sama masyarakat setempat dalam pelbagai perkara dengan menghidupkan tempat-tempat terbabit sebagai pusat motivasi dan tarbiah diri khususnya kepada golongan muda.

Agenda kedua – memantapkan Barisan Nasional
27. Walaupun perjuangan UMNO Wilayah Persekutuan berkisar kepada perjuangan untuk masyarakat Melayu tetapi jangan sesekali kita lupa bahawa parti serta pemimpinnya membentuk tulang belakang kepada pemerintahan kerajaan ini, sejak 57 tahun lalu bersama Barisan Nasional.

28. Dalam Barisan Nasional setiap keputusan diambil secara konsensus iaitu melalui perbincangan dan disepakati oleh semua 13 anggota komponen parti walaupun ada diantaranya parti yang kecil.

29. UMNO sentiasa sedar bahawa komitmen memastikan keseimbangan kaum dengan tidak mengenepikan agenda Melayu itu, amat penting bukan sahaja kepada negara tetapi untuk survival parti.

30. Saya ingin mengingatkan ahli-ahli UMNO Wilayah Persekutuan dalam pilihan raya UMNO mesti memberi sokongan penuh kepada mana-mana calon Barisan Nasional yang bertanding. Selaras dengan itu, agenda bagi memperteguh UMNO adalah selari dengan azam memantapkan Barisan Nasional kerana sedar bahawa kejayaan sebagai sebuah parti politik diukur dengan kemenangan dalam pilihan raya.

31. Saya bukan minta kita gadaikan prinsip tetapi saya yakin dan percaya jika kita sebagai penggerak UMNO Wilayah Persekutuan dapat berubah sama ada dari segi persepsi mahupun pergaulan dengan kumpulan kaum lain, kestabilan perpaduan dan keharmonian negara akan terus kekal untuk diwarisi oleh anak cucu kita, malah UMNO akan lebih dihormati.

32. Tidak ada gunanya UMNO bermegah sedangkan Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya di kawasan kita sendiri, malah lebih teruk lagi apabila persepsi yang berlegar kononnya UMNO Wilayah Persekutuan ditolak oleh golongan bandar tidak mampu kita sangkal. Kita mesti nafikan tohmahan pihak luar terhadap UMNO Wilayah Persekutuan dan caranya adalah dengan fakta, hujah yang bernas dan kedudukan yang boleh dibanggakan. Kita mesti terjemahkan angka melalui kemenangan dalam pilihan raya umum ke 14 nanti.

Agenda ketiga – Mendekati Golongan Belia dan Profesional
33. UMNO memerlukan idea yang segar dan pandangan yang baru dari semua pihak khususnya golongan muda yang mempunyai latar belakang berbeza-beza maka ruang yang ada perlu diperluas ke akar umbi, dari peringkat Cawangan, Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta menggunakan pelbagai pendekatan.

34. Kita lakukan perbincangan secara santai dengan golongan terbabit, adakan latihan, jemput dalam sesi dialog, manfaatkan seminar, wujudkan forum atau apa-apa sahaja bentuk latihan dan program yang akan memberi ruang bagi memastikan komunikasi dan hubungan terjalin dengan golongan belia dan profesional.

35. Dalam masa yang sama, kita perlu akrab dalam budaya golongan belia yang kini beralih ke media baharu sebagai bahan pembacaan utama. Digambarkan pada masa akan datang, pihak yang menguasai media sosial adalah mereka yang akan memenangi politik negara dan jika UMNO tidak melipatgandakan usaha menjuarai teknologi maklumat sebagaimana facebook, twitter, instagram, whatsapp dan telegram maka kita akan terus jadi defensif dan ketinggalan.

36. Dalam masa yang sama, janganlah pula kita jadikan media sosial sebagai gelanggang untuk berbalah sesama kita sebaliknya manfaatkanlah teknologi ini sebagai perantara bagi mendekati masyarakat serta mematahkan segala tohmahan pihak luar terhadap UMNO.

37. Kita juga perlu aktif dalam penambahan ahli baru membabitkan golongan muda. Di dalam Laporan Penambahan Pemilih Baru UMNO bagi bulan Ogos dan September 2014, saya amat kecewa kerana UMNO Wilayah Persekutuan hanya mencatat sebanyak 132 orang pemilih baru.

38. Jumlah ini ternyata sangat kecil jika dibandingkan dengan komposisi jumlah sebenar kepadatan penduduk di Wilayah Persekutuan yang layak mengundi sebagaimana dalam laporan semasa Daftar Pemilih sehingga Mac 2014, menunjukkan jumlah pengundi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah berjumlah 795,710 orang.

Agenda Keempat – Meningkatkan Jurang Ekonomi Melayu Bandar
39. Permasalahan berkaitan ekonomi menjadi perjuangan UMNO sejak penubuhannya hinggalah ke hari ini. Sememangnya, UMNO Wilayah Persekutuan memahami beban ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat Melayu bandar dalam berdepan kehidupan seharian. Soal kemiskinan bandar yang kebanyakan didominasi golongan Melayu adalah isu utama untuk diperjuangkan.

40. Berdasarkan statistik pemilikan hartanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terkini dan jumlah penguasaan ekuiti ekonomi, orang Melayu masih di belakang bangsa lain dalam segala hak pemilikan dan perniagaan. Soalnya siapa hendak kita persalahkan. Apabila lesen diberi, dipajakkan atau dijual. Hartanah diberi juga begitulah jadinya.

41. Contoh yang paling ketara adalah berkenaan dengan Pemilikan Hartanah di mana orang Melayu hanya memiliki 21.7% sahaja atau 93 ribu unit berbanding bangsa lain. Jurang yang agak besar ini merupakan satu cabaran yang harus dihadapi oleh Melayu di Wilayah Persekutuan dan hakikat ini perlu ditelan biarpun pahit.

42. Jika dua ratus tahun dahulu hampir 100% tanah di Kuala Lumpur milik orang Melayu tetapi sekarang hanya tinggal 21.7% masih dimiliki bangsa kita. Persoalannya sampai bilakah 21.7% itu boleh bertahan jika tiada penukaran minda, kaedah dan penyelesaian segera kita dilakukan? Jangan kita salahkan sesiapa kerana satu ketika dahulu 30% hartanah diberi kepada orang Melayu tetapi hilang begitu sahaja disebabkan sikap kita sendiri yang menggadai dan menjual kepada bangsa lain.

43. Begitu juga dengan statistik pendapatan isi rumah dan peratusan kemiskinan. Untuk makluman kita semua, gaji yang diterima purata oleh orang Melayu Wilayah Persekutuan adalah sekitar 2,000 hingga 3,000 ringgit untuk setiap isi rumah sebulan maka tentunya kehidupan menjadi amat perit.

44. Paling hangat juga yang diperkatakan ketika ini ialah statistik pemilikan rumah yang mana Melayu masih lagi ketinggalan berbanding bangsa lain. Bayangkanlah, harga rumah di Ibu Kota paling rendah adalah 300,000 ringgit sedangkan kemampuan untuk Melayu bandar berada di bawah 150,000 ribu ringgit sahaja.

45. Untuk makluman juga, statistik individu yang memohon rumah sewa dan beli daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula adalah berjumlah lebih dari 42,000 orang yang mana 90 peratus terdiri dari golongan Melayu. Inilah realitinya. Beban kehidupan semakin bertambah sehingga memaksa ada dikalangan mereka ini hidup bergelandangan kerana kesempitan yang dihadapi.

46. Sanggupkah kita membiarkan bangsa kita sendiri melarat? Maka di sinilah kita berperanan. Untuk memastikan segala jurang dan kesempitan dapat kita bersama memikirkan untuk diatasi.

47. UMNO Wilayah Persekutuan tidak mahu melihat ada bangsa kita yang hidup merempat dan melarat. Kita tidak sanggup menjadi lembu dicucuk hidung atau kambing hitam kepada segelintir pihak lantaran pangkat dan kedudukan yang enggan tergadai sabaliknya azam UMNO Wilayah Persekutuan amat teguh untuk membawa Melayu bandar keluar dari garis kemiskinan.

Agenda Kelima – Strategi turun padang dan selami permasalahan rakyat

48. Gerakan serampang dua mata menjadi alternatif utama dengan turun padang sambil menyelami permasalahan rakyat, merasai nadi rakyat dan menanyakan keperluan rakyat. Mana mungkin pemimpin atasan akan dapat menghayati kesusahan akar umbi jika tidak turun sendiri meninjau, melihat dan menilai apa yang berlaku. Pelbagai polisi dan dasar telah dilakukan oleh kerajaan dalam memberi bantuan kepada rakyat Malaysia dari pelbagai bentuk dan cara.

49. Sehubungan itu, UMNO Wilayah Persekutuan telah menggerakkan program yang dinamakan ‘Wilayah Persekutuan Prihatin’ atau ‘Wilayah Persekutuan Care’ yang bertujuan memberi bantuan kepada masyarakat. Program ini telah dimulakan sejak pertengahan tahun ini sebagai usaha mendekati rakyat melalui 13 Bahagian UMNO Wilayah Persekutuan setiap minggu.

50. Gerakan terancang UMNO bahagian empat peringkat berserta pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO ini akan menyelinap ke segenap ruang, menyelongkar setiap sudut, membelah lebuhraya, ceruk bandar dijelajah, tangga di daki, lorong dimasuki bagi memastikan setiap yang susah mendapat bantuan, setiap yang sakit mendapat penawar, setiap yang uzur mendapat pembelaan, biar yang berat jadi ringan agar keperitan yang dirasa dapat dikongsi bersama.

51. Dengan program tersebut, golongan yang kurang berkemampuan, ibu-ibu tunggal dan ibu tinggal, orang kelainan upaya dan mereka yang hidup melarat menjadi tumpuan tanpa mengira bangsa dan agama.

52. Begitu juga dengan golongan gelandangan yang diberi perhatian dan bantuan dalam pelbagai bentuk sama ada makanan, penginapan, perubatan dan kaunseling.

53. Bayangkanlah dalam keadaan kita berkejar untuk mencapai negara maju, masih ada dikalangan orang Melayu bandar yang terharu hingga menitiskan airmata apabila menerima wang tunai bernilai 100 ringgit. Betapa kita semua selama ini gah dengan kemajuan sedangkan individu terbabit kali pertama menggenggam not 100 ringgit itu.

54. Sememangnya, program Wilayah Persekutuan Prihatin ini adalah cara terbaik dalam usaha untuk memenangi hati rakyat, menggunakan tenaga tanpa belanja berjuta namun hasilnya membawa pulangan berganda.

55. Insya-Allah, kami akan fokus dalam melaksanakan semua program terancang hinggalah Pilihan Raya Umum ke-14 kelak. Kami mengambil pendekatan bahawa isu rakyat boleh melarat jadi isu negara jika dibiar tanpa penyelesaian, lantas biarlah kami turun ke akar umbi tanpa hirau pada kuasa, pangkat dan kedudukan kerana percaya ular menyusur akar, takkan hilang bisanya.

56. Kami juga sedar bahawa UMNO Wilayah Persekutuan adalah jendela kepada semua UMNO di seluruh negara. Inilah cabaran kami.

YAB Dato Seri dan para peserta konvensyen sekalian,
57. Di dalam Konvensyen ini, sebanyak 25 pembentang kertas kerja yang terdiri daripada 13 bahagian, 3 sayap dan 9 NGO akan berkongsi idea dan pemikiran untuk membawa UMNO Wilayah Persekutuan keluar dari kepompong lama. Semoga segala usaha murni yang telah, sedang dan akan dilaksanakan diberkati Allah SWT.

58. Bagi UMNO Wilayah Persekutuan, Konvensyen ini adalah satu titik permulaan untuk kita melangkah melakukan perubahan. Inilah ‘starting point’ untuk kita terus bergerak dan bekerja lebih kuat serta memastikan UMNO terus kekal relevan untuk orang Melayu di bandar ini.

59. Saya juga mengharapkan setiap ahli UMNO di semua peringkat di Wilayah Persekutuan bekerja bersama-sama ‘Work With Me, Not Work For Me’ kerana budaya kerja berkumpulan dan setiakawan adalah tunjang untuk kejayaan UMNO.

60. Dengan rahmat-Nya kita di sini, dengan restu-Nya kita metrai janji, dengan berkat-Nya juga saya mohon agar anggota konvensyen sekalian mempunyai impian dan harapan yang sama dengan saya lantas kembali ke kawasan masing-masing untuk memimpin masyarakat ke mana arah Melayu Bandar kita. Semoga perjuangan UMNO dan Barisan Nasional kekal kukuh bersama keikhlasan kita semua demi agama, bangsa dan negara.

61. Sekali lagi, di sini kita sama-sama ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Presiden kita, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang sudi meluangkan masa untuk bersama dan merasmikan Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan 2014. Maka dengan ini, dengan segala hormatnya saya persilakan Presiden UMNO Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menyampaikan amanatnya.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh