Salam Aidilfitri: Jaga Kesihatan, Utamakan Keselamatan
PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama-sama kepimpinan UMNO Bahagaian Putrajaya mengucapkan salam Aidilfitri kepada semua warga Putrajaya.
Katanya, sebagai umat Islam, marilah bersama-sama memanfaatkan ‘hari kemenangan’ selepas sebulan menunaikan ibadah puasa dengan menjadikan diri lebih baik untuk hari-hari akan datang.
“Dalam musim perayaan ini saya ingin berpesan kepada semua warga setempat agar memastikan keselamatan menjadi keutamaan sebagaimana mereka yang pulang ke kampung halaman dengan membuat pemeriksaan kepada kenderaan yang dinaiki, memandu berhati-hati dan patuhi had laju serta memastikan keselamatan rumah yang ditinggalkan selain barangan elektrik pun ditutup.
“Bukan itu sahaja, tahap kesihatan kita juga perlu kita jaga dengan tidak mengabaikan pengambilan makanan yang sihat walaupun tentunya kita dihidangkan dengan macam-macam juadah.”
Ujarnya, janganlah kerana terlalu asyik berhari raya maka tahap kesihatan terabai yang tentunya akan membantutkan keceriaan di Aidilfitri jika diserang penyakit.
“Dalam kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya kepada semua dan marilah kita menzahirkan rasa keinsafan dan saling bermaafan sekiranya ada tersalah silap yang telah dilakukan. Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin.”