BeritaUcapan

Selamat Hari Kebangsaan 2015 – Sehati Sejiwa Kukuhkan Perpaduan

PUTRAJAYA – Tarikh 31 Ogos adalah tarikh sambutan Hari Kebangsaan yang tentunya amat sinonim dengan masyarakat Malaysia yang cintakan keamanan sebagaimana temanya kali ini’ Sehati Sejiwa’.

Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menganggap tema ‘sehati Sejiwa’ amat bersesuaian dengan situasi masyarakat hari ini yang sewajarnya mengutamakan kesepaduan, kefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh negara ini tanpa melihat kepada apa-apa perbezaan.

“Uniknya Malaysia mempunyai kesinambungan pembangunan sejak merdeka hingga ke hari ini didukung oleh masyarakatnya yang hidup bersama atas semangat kesatuan dalam kepelbagaian.

“Rakyat di negara ini, biarpun pelbagai bangsa, berbeza anutan agama dan berlainan kaum namun kita mempunyai warga yang sentiasa akrab dan turut berkongsi kebudayaan dengan suasana harmoni.”

Ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, dalam apa jua keadaan, setiap individu mempunyai peranan untuk memberi sumbangan ke arah kecemerlangan negara.
“Perteguhlah kekuatan dan sematkanlah simpulan perpaduan kerana ia adalah asas kepada kestabilan negara yang perlu terus dipupuk dan dipertahankan dari semasa ke semasa.

“Aplikasikanlah sambutan hari kemerdekaan ini sebagai satu lonjakan untuk membawa Malaysia ke arah negara maju yang lebih gemilang, Selamat Hari Kebangsaan 2015.”