Berita

Hayati Cogankata ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ Dalam Perhimpunan Agung UMNO

KUALA LUMPUR – Jadikan cogan kata UMNO, ‘Bersatu, Bersetia Berkhidmat’ dalam Perhimpunan Agung UMNO 2015 untuk mencapai tekad menuju negara maju dengan pastikan bangsa Melayu dan bumiputera tidak ketinggalan dalam arus pembangunan, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Saya berharap semua perwakilan yang hadir dalam perhimpunan ini akan menjaga ketenteraman perjalanan mesyuarat agung kerana sebelum ini macam-macam cerita yang telah disebarkan oleh pihak tertentu kerana ingin melihat UMNO dipecah-belahkan,” katanya.

Ujarnya, sebagai ahli UMNO maka tentunya perlu terus bersatu iaitu bersama-sama dalam perjuangan, bersetia kepada kepimpinan parti dan seterusnya berkhidmat kepada masyarakat.

“Ikutlah peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Bersama-samalah kita pastikan bahawa kita adalah parti yang mempunyai tanggungjawab dan dapat melaksanakan Perhimpunan Agung UMNO kali ini lebih berjaya dari sebelum-sebelumnya. Insya-Allah kita akan mencapai usia 70 tahun 11 Mei hadapan dan kita akan bertambah matang.

“Marilah kita pastikan kita terus menjadi tulang belakang kepada kerajaan kita ini dan dapat mencorak
arah manakah negara kita akan pergi.”

Katanya, sebagai sebuah negara yang bakal menjadi negara maju pada tahun 2020 kelak dan bararu sahaja memasuki Rancangan Malaysia ke-11, maka tentunya menjadi tanggungjawab UMNO untuk memastikan rakyat negara ini khususnya orang Melayu dan bumiputera terjaga dan tidak tertinggal dalam arus pembangunan.

“Kalau kita capai negara maju sebagaimana Wawasan 2020 maka orang Melayu perlulah mencapai tahap kemajuan yang lebih baik dari sekarang.”

Dalam masa yang sama beliau turut menasihatkan para perwakilan yang bakal berkampung di Pusat Dagangan Dinia Putra (PWTC) agar berhati-hati dalam perjalanan tidak kira daripada mana kampung halaman mereka.

“Kepada para pembahas, berbahaslah berdasarkan usul yang diberi iaitu usul ucapan dasar Presiden, usul ekonomi serta usul agama dan pendidikan,” katanya lagi