Berita

UMNO Kekal Kuat Kerana Sentiasa Berjuang Untuk Rakyat – Najib

UMNO kekal kuat sehingga ke hari ini kerana ia sentiasa berpegang kepada asas perjuangan parti yang berpaksikan Islam, Melayu dan Bumiputera untuk seluruh rakyat di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Perdana menteri yang juga presiden UMNO itu menegaskan bahawa sejak penubuhannya, parti yang sudah berusia 71 tahun itu juga sentiasa relevan dengan dasar perjuangan yang sesuai dengan zaman selain mempunyai visi dan tindakan untuk memajukan bangsa dan negara.

“Kita berjuang bukan untuk ahli UMNO sahaja, malah untuk semua rakyat tidak kira kaum, agama dan keturunan.

“Kita perjuangkan pembangunan untuk siapa? untuk rakyat Malaysia, kita jaga keselamatan untuk siapa? untuk rakyat Malaysia, kita tegakkan perpaduan untuk siapa? untuk rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 150,000 anggota UMNO pada acara perhimpunan raksasa bersempena sambutan Hari UMNO ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Perdana menteri juga menegaskan bahawa UMNO bukan parti perkauman dan bukan parti pelampau, malah ia sanggup bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan rakan-rakan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili seluruh rakyat di negara ini.

Najib berkata UMNO yang mendahulukan rakyat, terus mendapat keyakinan pada setiap kali pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri Sarawak, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Besar, PRK Parlimen Kuala Kangsar dan dan PRK DUN Tanjong Datu yang lalu.

Beliau berkeyakinan parti itu bersama rakan-rakan dalam BN akan sekali lagi diberikan mandat untuk memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Kita sentiasa relevan kerana dasar perjuangan yang kita amalkan dan laksanakan sesuai mengikut era dan zaman sama ada ketika menentang Malayan Union atau (era) pasca kemerdekaan, membangunkan kawasan luar bandar, era perindustrian dan menuju 30 tahun lagi kepada zaman Transformasi Nasional (TN50),” katanya.

Najib berkata visi dan tindakan parti UMNO juga seiring dengan rakan-rakan dalam parti komponen BN tidak seperti di pihak pembangkang yang seringkali tidak sehaluan.

“Wawasan tanpa tindakan akan sia-sia sahaja, tindakan tanpa wawasan akan menjadi caca marba. Kita tidak macam pembangkang yang tidak sehaluan. Kita dalam Barisan Nasional, kita satu keluarga dan menyokong dasar sama,” katanya.

FB_IMG_1494562600774

FB_IMG_1494562586540

FB_IMG_1494562574290