MyExpo Putrajaya Venue MICE Terbesar Di Asia Tenggara
PUTRAJAYA – Malaysia akan mempunyai venue mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) terbesar di Asia Tenggara di sini, berikutan penggabungan Pusat Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyExpo) dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menjelang 2021.
Semasa merasmikan majlis pecah tanah MyExpo di Precint 5, di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pusat konvensyen berkenaan dengan keluasan kasar 1.5 juta kaki persegi itu akan menjadi pusat pameran terbesar di Malaysia apabila siap pada tahun 2020.
MyExpo, dengan ciri-ciri reka bentuk yang unik dan boleh menampung 60,000 orang pada satu masa, dengan unjuran pendapatan tahunan sebanyak RM500 juta, katanya.
“Oleh itu, apabila MyExpo membuka pintunya pada tahun 2021, ia bukan sahaja akan menyumbang kepada peningkatan jumlah pelawat ke negara kita, tetapi juga mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Ini akan membantu menjadikan Putrajaya sebuah bandar raya yang benar-benar memenuhi keperluan perniagaan dan aktiviti santai, bukan sahaja untuk penduduk tempatan tetapi juga untuk hos kepada warga negara lain yang dijangka tinggal dan bekerja di sini,” katanya.
MyExpo adalah pembangunan fasa pertama MyExpo City di kawasan Pembangunan Bercampur Bersepadu dan Diplomatik.
Tapak baru MyExpo City itu terletak bersebelahan PICC dan projek itu dijangka melengkapkan dan membawa nafas baru kepada PICC yang memenuhi sebahagian besarnya untuk persidangan, kongres dan konvensyen sejak 2013.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata MyExpo City yang meliputi kawasan seluas empat juta kaki persegi akan mempunyai taman serta hotel empat dan lima bintang.
Beliau berkata sektor MICE merupakan cadang industri pelancongan global yang berkembang pantas dengan industri MICE Malaysia menarik 111,298 perwakilan ke 153 acara dan menjana hasil sebanyak RM1.035 bilion pada tahun lepas.
Menjelang 2020, pelancongan perniagaan dijangka menyumbang sebanyak RM3.9 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar dan menjana 16,700 pekerjaan, katanya.
“Semua ini akan menjadikan MyExpo bukan sahaja bangunan ikonik tetapi juga tarikan utama sebagai destinasi untuk persidangan dan pameran, di peringkat negara, serantau dan antarabangsa,” katanya dan memuji mereka yang mengambil bahagian dalam perancangan, pembinaan dan pembangunannya.
Najib berkata menurut Persatuan Kongres dan Konvensyen Antarabangsa (ICCA), Kuala Lumpur menduduki tempat kelapan di Asia Pasifik dan ke-28 di peringkat dunia sebagai bandar raya pusat konvensyen, manakala dalam kalangan negara-negara, Malaysia menduduki tempat ketujuh di rantau ini dan ke-30 di dunia.
Turut hadir ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Perbadanan Putrajaya dan Pengerusi Putrajaya Leisures and Services Group Sdn Bhd (PULSE Group) , Datuk Seri Hasim Ismail.
MyExpo akan diuruskan oleh Convention and Exhibition (Putrajaya) Sdn Bhd yang kini menguruskan PICC.
MyExpo City merupakan projek pembangunan oleh PULSE Group, sebuah pegangan milik penuh Perbadanan Putrajaya dan juga cabang pelaburan untuk pembangunan di Putrajaya.
You must be logged in to post a comment.