Berita

Bendera, Lagu UMNO Di Sekolah Bukan Politik

ISU bendera dikibarkan dan lagu UMNO berkumandang di Sekolah Kebangsaan Presint 14, Putrajaya pada Selasa tidak bersifat politik dan bukan sesuatu yang luar biasa, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata elemen itu adalah antara aktiviti bersempena sambutan Hari Kebangsaan negara, yang dirancang pihak sekolah untuk menerangkan tentang perjalanan negara dalam memperoleh kemerdekaan.

“Negara kita merdeka hasil perjuangan UMNO dengan dibantu oleh MCA dan MIC. Ini dapat dilihat apabila Tunku Abdul Rahman yang pada ketika itu memegang jawatan Presiden UMNO pergi ke London untuk memperoleh kemerdekaan negara,” katanya kepada pemberita.

Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas pelajar-pelajar sekolah itu yang menyanyikan lagu UMNO dan mengibarkan bendera parti pada majlis anjuran sekolah berkenaan.

Menurutnya parti pembangkang yang menjadikan perkara itu sebagai isu politik boleh berkata apa sahaja kerana pada dasarnya mereka sendiri sedar bahawa UMNO, MCA dan MIC merupakan penyumbang kepada kemerdekaan negara.