Jambatan Seri Ehsan Permudah Aliran Trafik Di Putrajaya
PUTRAJAYA – Jambatan Seri Ehsan yang menghubungkan Presint 4 dan Presint 19 di sini akan dibuka kepada lalu lintas mulai esok.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang merasmikannya hari ini berkata jambatan kesembilan di Putrajaya itu bertujuan mewujudkan laluan alternatif dan memendekkan masa perjalanan memasuki ‘Putrajaya Core Business District’ iaitu di Presint 1 hingga Presint 5.
“Secara tidak langsung ia dapat menyuraikan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Jambatan dengan peruntukan RM68.5 juta oleh kerajaan itu mula dibina pada 15 Okt 2015 dan siap pada 30 Jun tahun ini.
Jambatan baharu tersebut adalah sepanjang 280 meter dengan kelebaran 35 meter yang menyediakan enam lorong iaitu tiga lorong keluar dan tiga lorong masuk ke Presint 4, katanya.
“Ketinggian jambatan tersebut adalah setinggi 9 meter dan boleh dilalui oleh bot persiaran,” kata Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya.
You must be logged in to post a comment.