Berita

PRU-14 Masa Terbaik Tolak Pembangkang, Tandus Pemimpin – Tg Adnan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, PRU-14 adalah masa terbaik menolak pembangkang yang tidak memiliki pemimpin berwibawa, sebaliknya hanya bergantung kepada pemimpin kitar semula.

Katanya, pakatan pembangkang ketandusan pemimpin sehingga sanggup mencalonkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah mengumumkan persaraan dalam pentadbiran negara untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), berkata zaman Dr Mahathir sudah berakhir dan tidak lagi sesuai untuk kembali mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya pun hairan kenapa Dr Mahathir dikitar semula untuk kembali mentadbir negara. Ada baiknya Dr Mahathir akur masa sekarang berbeza dengan era beliau menjadi Perdana Menteri dan terimalah hakikat zaman sudah berubah.

“Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) sudah melakukan yang terbaik untuk mentadbir negara ke arah negara maju, aman dan lestari,” katanya.