Berita

Projek Berimpak Tinggi Di Putrajaya Sentral Beri Manfaat Penduduk Setempat

PUTRAJAYA – Projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip), Terminal Pengangkutan Awam dan Pusat Penjaja Bumiputera akan dibangunkan berhampiran Putrajaya Sentral selaras dengan fokus kerajaan terhadap pembangunan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata kos bagi ketiga-tiga projek berkenaan dianggarkan sebanyak RM2.281 bilion.

Katanya, projek Rumawip berkenaan adalah yang pertama dilaksanakan di Putrajaya merangkumi 2,000 unit dan ia sebagai usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk rakyat.

“Sebanyak 500 unit Rumawip dengan keluasan 700 kaki persegi (kps) akan ditawarkan pada harga RM80,000, yang termurah, khusus untuk warga Putrajaya berpendapatan RM3,000 kebawah atau kakitangan kerajaan N17 dan kebawah,” katanya kepada media selepas majlis pecah tanah projek berkenaan, di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, 90 unit dikhaskan kepada masyarakat India dan 50 unit lagi untuk golongan kurang upaya (OKU) dengan pintu yang lebih besar dan bilik air mesra OKU, katanya.

Tengku Adnan berkata, bagi unit selebihnya, Rumawip berkenaan akan dijual pada harga RM270,000 seunit dengan keluasan 800 kps.

“Projek Rumawip Putrajaya dijangka dibina pada suku kedua tahun ini dan akan siap keseluruhannya pada 2024,” katanya.

Katanya, permohonan boleh dibuat mulai hari ini melalui laman web Ruwawip dan saringan akan dilakukan terhadap mereka yang layak terutama pembeli rumah pertama selain tempoh moratorium selama 10 tahun bagi mengelakkan spekulasi harga.

Pada majlis sama, Tengku Adnan turut melancarkan projek pembangunan semula terminal pengangkutan awam Putrajaya Sentral bagi memanfaatkan pelaksanaan pembangunan laluan kedua Transit Aliran Massa (MRT) yang berpusat di Putrajaya Sentral dan kini sedang rancak dibangunkan serta bakal siap pada suku kedua 2022.

“Projek terminal pengangkutan awam ini akan turut disepadukan dengan kemudahan awam lain seperti pusat perkhidmatan sehenti dan ‘park & ride’, selain kompleks komersil, menara pejabat, auditorium, hotel, pusat membeli-belah dan pangsapuri perkhidmatan.

“Projek ini akan bermula pada 2019 dan dijangka siap keseluruhannya pada 2029,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pusat Penjaja Bumiputera dengan ruang niaga berkeluasan 215,400 kps akan dibangunkan pada pertengahan tahun ini di Presint 7 dan Presint 9 khusus untuk peniaga kecil dan sederhana yang dijangka siap pada 2023.

Projek berkenaan akan dilaksana oleh anak syarikat milik penuh Perbadanan Putrajaya iaitu Putrajaya Leisures & Services Group Sdn Bhd, bersama rakan strategik Pan Sejati Development (M) Sdn Bhd, Alliance Gloss Sdn Bhd dan GETS Global Bhd. – Bernama

IMG-20180320-WA0081

IMG-20180320-WA0078

IMG-20180320-WA0076

IMG-20180320-WA0080

IMG-20180320-WA0051