Berita

Tak Timbul Isu BN Tidak Boleh Guna Lambang Dacing, Dapat Kelulusan ROS – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan tidak timbul isu Barisan Nasional (BN) tidak boleh menggunakan lambang dacing yang berwarna putih dan berlatarbelakangkan nilakandi kerana telah mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sebelum itu, isu pertikaian warna dan lambang BN telah tular di media sosial sehinggakan menimbulkan keresahan di peringkat akar umbi.

“Pada hemat saya ini tidak sepatutnya berlaku kerana mengikut Perlembagaan BN yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 20 Nov 2010.”

Menurutnya, Fasal 16 Perlembagaan BN menyatakan:

Fasal 16. Lambang – Lambang, lencana dan bendera BN adalah dacing yang berwarna nilakandi. Walau bagaimanapun, Parti Anggota bolehlah menggunakan lambang, lencana dan bendera masing-masing jika difikirkan perlu.

“BN telahpun mendapat kelulusan oleh ROS setelah pindaan perlembagaan dibuat pada tahun 2010,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan para penyokong BN untuk kekal komited, fokus dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan besar BN pada pilihan raya ini.