Berita

Selamat Hari Malaysia, Marilah Terus Kekalkan Kesejahteraan Bersama

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen tempatan yang lebih mesra dengan panggilan ‘ketua kampung’ Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama barisan kepimpinan UMNO Bahagian Putrajaya mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua khususnya warga Putrajaya.

Beliau berharap agar para penduduk setempat akan terus bersama-sama menghargai kesejahteraan yang selama ini dinikmati dan terus berusaha memastikan keamanan berterusan.

“Kesejahteraan yang kita kecapi bukan diperoleh dengan mudah dan tarikh 16 September ini adalah bukti kesatuan warga Malaysia untuk kekal utuh dan sama-sama meneruskan usaha agar terus maju.”

Katanya, sebagai sebuah negara yang penghuninya adalah masyarakat majmuk maka menjadi keutamaan semua dalam mewujudkan suasana harmoni dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Inilah uniknya kita di Malaysia yang dapat mengekalkan kelestarian atas semangat kesatuan dalam kepelbagaian iaitu masrakat pelbagai kaum dan berbilang bangsa tetapi dapat hidup aman dan rukun bersama-sama.

“Marilah kekalkan keharmonian dan saling persefahaman antara kita agar kelangsungan semangat untuk kesejahteraan Malaysia dapat diteruskan,” katanya lagi.

Tarikh 16 September diraikan bersempena penubuhan Malaysia dengan penyertaan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada tarikh tersebut.