Ziarah Prihatin Parlimen Putrajaya Kesungguhan UMNO Untuk Terus Bersama Rakyat
PUTRAJAYA – Fokus UMNO sebagai sebuah parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara terus dilaksana termasuklah memastikan setiap individu yang uzur dan ditimpa musibah mendapat perhatian dan pembelaan.
Selaras dengan itu, UMNO Bahagian Putrajaya yang diterajui Ahli Parlimennya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah meneruskan usaha menyusur akar turun padang melalui Biro Kebajikannya dengan mengunjungi mereka yang ditimpa keuzuran dengan Program Ziarah Prihatin Parlimen Putrajaya.
Program yang diketuai oleh Puan Husna Abdul Rahaman selaku pengerusi biro dan juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Putrajaya ini dilaksana dengan mengenalpasti penduduk Putrajaya yang dilanda keuzuran sama ada mendapat rawatan di hospital atau berada di rumah untuk dikunjungi.
Dalam Program Ziarah Prihatin Parlimen Putrajaya ini, Puan Husna bersama ahli jawatankuasanya telah berkunjung ke Hospital Putrajaya selain menziarahi mereka yang dirawat di rumah iaitu di sekitar Presint 8 dan Presint 9.
Kata-kata semangat serta sokongan moral diberikan kepada para pesakit dan ahli keluarganya agar terus kuat dalam berdepan dugaan serta sama-sama berdoa agar disembuhkan dari segala kesakitan dan dikembalikan kesihatan untuk meneruskan aktiviti harian seperti biasa. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.