UMNO Putrajaya Turut Serta Gesa Kerajaan PH Ambil Tindakan Terhadap Waytha Moorthy
PUTRAJAYA – Gesaan terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menuntut tindakan memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy terus dibuat dengan membabitkan laporan polis di seluruh negara.
Dalam hal ini, UMNO Putrajaya tidak ketinggalan sebagaimana yang dilaksanakan oleh Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya untuk turut serta dalam laporan polis yang digerakkan malam tadi di IPD Wangsa Maju.
Untuk ini, seluruh Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan telah menunjukkan kebersamaan dan bersatu membuat laporan ke atas P. Waytha Moorthy.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Norbhaiti Sabar berkata, walaupun Timbalan Ketua PDRM telah mengeluarkan kenyataan pada 22 Nov akan memanggil Waytha Moorthy untuk mendapatkan keterangan namun desakan perlu terus dilakukan.
“Saya berharap kita semua terus seiring perbanyakkan asakan dan desakan agar kes ini dibicarakan seadilnya,” katanya.
Laporan polis di seluruh negara terhadap menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal perpaduan dan kesejahteraan sosial itu susulan rakaman video kenyataan pemimpin berkenaan yang disifatkan keterlaluan dan mengundang perpecahan kaum di negara ini.
Menerusi video berdurasi dua minit 39 saat itu, Waytha Moorthy menggambarkan seolah-olah negara menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik selain kerajaan BN telah melakukan penindasan kepada kaum dan penganut agama lain. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.