Berita

Kerajaan Yang Naik Atas Fitnah, Akan Jatuh Akibat Fitnah Mereka Sendiri – Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kerajaan yang naik di atas fitnah, pastinya akan jatuh diakibatkan oleh fitnah yang dibuat oleh mereka sendiri.

Menurut beliau, petanda ini jelas kelihatan apabila kemarahan rakyat hari ini mula meluap-luap ekoran kegagalan kerajaan Pakatan Harapan untuk menunaikan segala janji-janji mereka kepada rakyat seperti mana yang disebutkan di dalam manifesto mereka sendiri.

“Apa yang berlaku hari ini telah menyebabkan rakyat mula rasa marah terhadap kerajaan.

“Bukan sahaja kerana kegagalan mereka menunaikan janji, tetapi juga dengan peningkatan kos sara hidup di mana harga barangan yang semakin naik selepas pelaksanaan SST, harga komoditi yang merudum, keadaan ringgit yang semakin teruk dan kejatuhan bursa saham yang paling teruk dalam sejarah”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam Siri Jelajah Presiden Dan Kepimpinan UMNO Bersama UMNO Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Bahkan jelas Zahid lagi rakyat juga dizalimi sehingga ada yang telah kehilangan pekerjaan.

“Penjawat awam, guru kemas, pegawai-pegawai JASA juga kini kehilangan pekerjaan. Sudah tentu rakyat merasa tertekan, sudahlah dalam keadaan ekonomi yang tidak baik, mereka hilang pekerjaan pula.

“Kepimpinan UMNO pula dituduh dengan pelbagai tuduhan. Tidak cukup sekadar itu, mereka mahu UMNO pula mahu dibubarkan. Semasa kita berada di dalam kerajaan dulu, kita tak pernah batalkan sebarang pendaftaran, atau bekukan akaun mana-mana pertubuhan. Kalau nak lawan, lawanlah sebagai anak jantan dan bukan macam pondan,” tegasnya

Justeru, beliau mengajak ahli-ahli dan kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi agar bekerja keras bagi memastikan UMNO dapat kembali bangkit menguasai pentadbiran negara pada pilihanraya umum yang akan datang.

“Mereka menang bukan kerana mereka kuat, tetapi hakikatnya dulu kita juga ada masalah dalaman sesama sendiri.

“Jadi, kita perlu perbaiki segala kelemahan yang ada dan perkukuhkan permuafakatan sesama kita di dalam parti”, ujarnya.

Teras perjuangan UMNO tambah beliau adalah untuk mempertahankan empat perkara di dalam perlembagaan.

“Kita kena bersama-sama dalam hal ini. Tolak lalang dan langau-langau di dalam parti, InsyaAllah UMNO akan terus kukuh dengan dokongan lebih tiga juta ahli kita.

“Jangan ada kedai dalam kedai, jangan ada yang nak jadi taukey-taukey kecil, jangan tebuk kapal sendiri, jangan patahkan tiang layar sendiri. Apa yang perlu kita buat, kita baiki lantai yang sudah berlubang, tegakkan kembali tiang seri, InsyaAllah UMNO akan kembali menjadi teras kepimpinan di negara ini,” ujarnya.- MediaUMNO