Ulang Tahun UMNO Ke-73: Teks Penuh Ucapan Mohamad Hasan
1. TERIMA KASIH atas kehadiran pada malam ini, saya sangat gembira melihat ahli kita berkumpul beramai-ramai seperti ini.
2. Sama ada berjawatan ataupun tidak, yang muda atau veteran, yang baharu atau lama, semuanya duduk berdampingan. Bertanya khabar, bermesra dan berdoa bersama-sama.
3. Sesungguhnya dengan perhimpunan yang sebegini, ia membuka satu daripada pintu rahmat Allah SWT kepada kita. Lebih-lebih pada bulan Ramadan yang mulia ini.
4. Hari ini juga kita sedekahkan sebentar nanti doa kepada para pendiri bangsa dan para pejuang-pejuang bangsa yang telah lama pergi ke hadrat Ilahi sebagai tanda ingatan dan terima kasih kita kepada mereka. InsyaAllah kita tidak akan melupakan segala dharmabakti mereka pada watan, pada bangsa dan agama.
5. Bukan sahaja kita tidak akan lupakan, perhimpunan kita malam ini juga menggambarkan iltizam untuk kita meneruskan apa yang telah mereka mulai.
6. Dalam apa jua keadaan dan kedudukan UMNO sama ada di puncak kuasa atau sebaliknya pemeliharaan kedudukan Islam dan bangsa Melayu akan terus kita perjuangkan.
7. Jadi bersempena perayaan usia UMNO yang sudah mencecah lebih 7 dekad ini saya ingin menyentuh beberapa perkara.
8. Pertama, perjuangan membela bangsa dan negara, atau hizbul watan, ialah satu tugas dan kewajipan beragama.
9. Maksudnya, sesiapa jua yang melarikan diri dan mengelak daripada amanah memperjuangkan agama dan tanah air amat dikecam dalam Islam.
10. Ertinya bahawa kecintaan kepada negara atau hubbul watan itu dikira sebagai sebahagian daripada tuntutan agama. Perjuangan membela bangsa dan tanah air itu selari dengan ajaran agama. Kedua-duanya adalah kutub yang seiring dan tidak terpisah.
11. Justeru kita harus menerima dan menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik, dengan ikhlas dan dengan bersungguh-sungguh.
12. Yakinlah, masa depan UMNO sangat bergantung pada bagaimana UMNO memperjuangkan politik kebangsaan berasaskan Islam.
13. Sebabnya mudah. Kerana Islam itulah yang mendorong orang Melayu menjadi bangsa yang rasional dan berkemajuan. Jika UMNO ingin berkelangsungan, UMNO mesti mengangkat politik Melayu Islam sebagai agenda masa depannya.
14. Semangat kebangsaan Melayu yang kita perjuangkan selama ini mesti diinspirasikan dan dipimpin dengan kefahaman Islam yang lebih mendalam. Contoh paling baik ialah melalui agenda Perpaduan Ummah UMNO-PAS.
15. Sudah tiba masanya kita memberi nafas baharu kepada konstruk ini.
16. Orang-orang Melayu UMNO dan PAS sebenarnya bersaudara. Kita mengesakan Tuhan yang satu dan berselawat memuji Nabi yang sama. Namun begitu, keegoan politik telah memberi sengketa kepada bangsa kita berdekad lamanya.
17. Alangkah ruginya umat Islam dengan politik perpecahan sebegini. Sehinggakan kita sanggup bersolat di masjid yang berlainan.
18. Sekarang kita mesti runtuhkan tembok-tembok naratif tersebut. Kita bina makna dan kesepakatan yang baharu atas semangat dan politik Melayu Islam cara kita sendiri.
19. Bahawa perjuangan kebangsaan Melayu itu insklusif. Tidak meminggirkan sesiapa. Dan mendukung syiar Islam yang menyeru kepada perpaduan dan kesatuan demi kebaikan bangsa dan agama.
20. Politik Melayu Islam cara ini adalah politik yang mendukung nilai kebangsaan tetapi dipandu dengan kekuatan Tauhid.
21. Politik Melayu Islam cara kita ini adalah yang menganjurkan pemikiran berkemajuan dan disandarkan dengan nilai-nilai keadilan, pertanggungjawaban dan kesaksamaan.
22. Politik Melayu Islam cara kita tidak melabel, menghukum dan memegang prejudis.
23. Selepas lebih 70 tahun UMNO ini berdiri sebagai pembela bangsa, sudah tiba masanya nilai, sikap dan pemikiran kita diberikan lonjakan baru. Maka InsyaAllah, politik Melayu Islam akan menjadi lonjakan baru itu.
24. Kedua, tiada tarikh akhir atau titik henti dalam berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
25. Sudah sunnah orang berjuang, kejayaan dan kegagalan adalah lumrah. Apa yang UMNO melalui ketika ini adalah gelora dalam perjuangan. Langit tidak selalunya cerah mendung pun akan berlalu jua.
26. Namun, sebagai orang perjuangan, selagi kita mampu selagi kudrat masih bersatu dengan jasad kita wajib teruskan. Kita tidak perlu berhenti malah kita tidak sepatutnya berhenti.
27. Jangan sesekali mengatakan bahawa UMNO telah musnah, telah hancur dan pelbagai lagi anggapan buruk. Kerana UMNO itu lahir dari idea yang baik. Idealogi UMNOlah yang telah membidani negara ini dan memakmurkannya.
28. Jadi kerana itu saya sangat berterima kasih kepada saudara-saudari kerana terus Bersetia dengan UMNO dalam kuatnya dan dalam lemahnya.
29. Berbakti itu bukan sahaja pada masa kita berkuasa. Dengan anggapan apabila kita tidak punya kuasa kita tidak mampu melakukan apa-apa.
30. Semakin kita tewas, semakin kuat kita sepatutnya bekerja dan berjuang. Semakin berani dan semakin banyak seharusnya kita member kepada agama dan bangsa.
31. Kerana itu, saudara-saudari seperjuangan. Malam ini, dengan rendah diri, dengan hati yang sangat tulus, saya bermohon agar bersungguh-sungguhlah kita untuk UMNO, untuk agama dan bangsa.
32. Jangan sesekali kita tinggalkan UMNO dek kerana tewasnya ia. Malah mari kita giat, bangunkan semula UMNO bukan sahaja untuk kembali berkuasa tetapi sebagai bakti dan amal kita kepada orang Melayu, agar di akhirat kelak boleh kita tuai.
33. Marilah kita mengerah segala kudrat yang ada. Menggembleng dan mencanai segala idea dan pemikiran yang baik. Dan merapatkan segala persahabatan dan persaudaraan antara kita.
34. Ketiga, menjaga nama baik UMNO juga menjaga nama baik Melayu.
35. Ketika ini seluruh rakyat Malaysia sedang memerhati orang Melayu. Mereka menunggu dan melihat bagaimanakah orang Melayu mahu mengemudi struktur politik, sosial dan kepercayaannya selepas tidak berkuasa lagi.
36. Maka UMNO, sebagai wadah politik Melayu terbesar negara, harus berhati-hati dalam segala tindak-tanduknya.
37. Segala buruknya UMNO, orang Melayu juga yang menerima tempiasnya. Maka berhati-hatilah dalam bertindak dan berkata. UMNO bukan setakat parti politik. Ia lebih pada pancaran rohani orang Melayu.
38. Jadi pada malam ini marilah kita bersama-sama menadah tangan dan berdoalah dengan tulus ikhlas dan bersungguh-sungguh. Semoga segala keruh, Allah jernihkan kembali.
39. Mana yang terlupa, akan diingatkan. Mana yang tersasar, akan dipimpin pulang ke jalan yang betul.
40. Setelah kita padukan segala ikhtiar dan usaha yang termampu hanya niat yang ikhlaslah yang boleh menjadi benteng kuat kepada kita. Hanya niat yang ikhlas inilah yang boleh menjadi senjata kita semua.
41. Semoga doa kita semua diterima dan dimakbulkan oleh-Nya, Insya-Allah.
You must be logged in to post a comment.