BeritaRencana

UMNO Bukan Parti, Gerakan Sosial Mengaibkan Orang Lain

KUALA LUMPUR, 12 Jun – UMNO tidak akan terlibat dengan perkara yang mengaibkan mana-mana pihak dan tidak akan menjadi parti atau gerakan sosial yang menerima perkara sedemikian, tegas Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad turut menyeru semua pihak berdoa agar sebarang kekhilafan yang dilakukan oleh mana-mana pihak akan berakhir dengan cara yang terbaik untuk semua.

“Oleh itu, rentetan tersebarnya video skandal seks orang berjawatan dalam kerajaan, yang kini hangat diperkatakan di media sosial, saya menyeru dan menganjurkan supaya semua pemimpin, ahli dan pendukung UMNO, untuk tidak terlibat.

“Apatah lagi mengambil kesempatan dan melakukan perkara yang hanya memburukkan keadaan,” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebook, di sini, hari ini.

Jelas Mohamad atau lebih dikenali dengan Tok Mat lagi, UMNO adalah gerakan amal bakti yang dipimpin oleh kematangan dan profesionalisme serta menjadi amalan parti untuk memilih jalan yang baik dan berhikmah dalam setiap tindakan yang dilakukan.

“UMNO akan memfokuskan masa dan tenaganya untuk terus menyantuni masyarakat dan membawa kepimpinan kepada bangsa ini.

“Kegagalan kita untuk berbakti dan menjalankan amanah rakyat adalah jauh lebih mengaibkan dari sebarang skandal yang sarat dengan ketidakpastian,” katanya. – MediaUMNO