Berita

UMNO 74 Tahun: Kibarkan ‘Sang Saka Bangsa’, UMNO Putrajaya Hargai Perjuangan

PUTRAJAYA – Tarikh 11 Mei merupakan detik bersejarah yang perlu sentiasa diingati apabila tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang dibentuk sebagai parti perjuangan nasionalisme.

Selepas melalui lebih tujuh dasawarsa, UMNO perlu terus dikenang, dihargai malah penubuhannya mestilah terus dihayati agar semangat kebangsaan demi perjuangan agama, bangsa dan negara sentiasa bersemarak.

Selaras dengan itu, UMNO Bahagian Putrajaya yang diketuai oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merangkap Ahli Parlimen Putrajaya telah mengambil inisiatif mengibarkan bendera ‘Sang Saka Bangsa di ibu pejabatnya, di sini.

Ini adalah selari dengan saranan sambutan ulang tahun UMNO ke-74 agar diraikan secara sederhana tanpa adanya acara keraian memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa ekoran COVID-19,sebaliknya mengibarkan bendera parti di tempat-tempat kediaman.

Dalam masa yang sama, semua ahli UMNO dianjurkan di rumah masing-masing agar mengadakan bacaan Yassin, solat hajat dan doa selamat memohon supaya parti keramat ini dilindungi oleh Allah dan ahli-ahlinya dijauhi daripada malapetaka. – UMNOPutrajaya