Raikan Aidiladha Dalam Norma Baharu, Aplikasi Pengorbanan Dalam Perjuangan
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengucapkan Salam Aidiladha kepada semua umat Islam khususnya penduduk tempatan dan berharap agar masyarakat dapat mematuhi SOP perayaan dalam norma baharu.
Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, biarpun Aidiladha ini kerajaan membenarkan menyambutnya berbanding dengan sambutan Aidilfitri lalu yang tidak dibenarkan rentas negeri, namun ia bukanlah satu perkara yang harus dipandang mudah kerana pematuhan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih perlu diikuti.
“Syukur Alhamdulillah kerana biarpun dalam tempoh PKPP, kita masih dapat meraikan Aidiladha ini dengan penuh kesederhanaan dan berkumpul bersama-sama keluarga serta rakan taulan dalam jumlah yang terhad.
“Apa yang paling penting dalam kita meraikan Aidiladha ini adalah penghayatan kita terhadap ibadah korban yang dilaksana serta mengaplikasikan pengorbanan tersebut dalam perjuangan serta kehidupan kita seharian,” katanya.
Jelas beliau, dalam usaha untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, sewajarnya umat Islam menjadikan COVID-19 yang ada di sekeliling kita hari ini sebagai manifestasi dalam meningkatkan kekuatan dan kesungguhan untuk keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan bersama.
“Marilah kita panjatkan kesyukuran dan terus berdoa agar negara kita terus terhindar dari bala bencana dan wabak penyakit yang sekarang ini melanda seluruh dunia. Biarpun negara kita juga tak terlepas dari ancaman pandemik COVID-19 ini namun syukur kerana ianya terkawal dan kita perlu sama-sama patuhi arahan yang telah ditetapkan,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya