Salam Maal Hijrah, Ayuh Hijrahkan Diri Ke Arah Kebaikan
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Ketua UMNO Bahagian tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan kesyukuran dan mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada seluruh umat Islam bersempena 1 Muharram 1442H.
Katanya, pentingnya Hijrah itu tidak dapat dinafikan kerana ia adalah satu Sunnah Nabi yang memberi pedoman terhadap sikap dan gerak-geri ke arah kebaikan.
“Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah kerana dengan rahmat dan hidayah-Nya maka dapatlah kita bersama berada dalam tahun baharu ini. Sewajarnya tidak salah untuk kita imbau masa semalam dengan yang buruk dijadikan tauladan dan segala kebaikan diteruskan untuk masa hadapan.
“Sesuai dengan perjuangan Rasulullah SAW yang membetul dan memperkuatkan akidah, memperbaiki dan meningkatkan kehidupan, maka marilah kita juga berusaha ke arah itu. Kita berhijrah dengan berpindah atau mengubah sikap yang kurang baik dan tidak menguntungkan kepada sikap yang lebih berfaedah, walaupun terpaksa berhadapan dengan berbagai cabaran,” katanya bersempena kedatangan Maal Hijrah.
Ujar beliau, tentunya sebagai manisia kita tidak akan dapat lari dari pelbagai kesusahan lantaran ujian dari pelbagai sudut, namun itu semua bukan alasan untuk tidak berubah dan berusaha untuk menjadi yang lebih baik.
“Dalam apa juga keadaan, kita mahu perbaiki diri kita, keluarga kita, kehidupan kita malah negara kita… apatah lagi sekarang ini seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19, maka ambillah ia sebagai langkah positif dengan mencari hikmah di sebaliknya.
“Sempena sambutan peristiwa Hijrah ini, marilah kita bersama-sama bertekad untuk mempereratkan perpaduan dan mengembleng tenaga menjalankan kewajipan. Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga perjuangan kita akan sentiasa diberkati dan dilindungi-Nya,” katanya lagi. – UMNOPutrajaya
You must be logged in to post a comment.