Berita

PRN Sabah: Jentera BN Berjalan Baik, Temui Seramai Mungkin Pengundi

SIPITANG, 13 Sept – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata jentera parti setakat ini berjalan dengan baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang melalui fasa berkempen yang bermula semalam selepas proses penamaan calon yang berlangsung di seluruh Sabah.

Menurut beliau jelas sekali organisasi parti khususnya UMNO adalah amat baik selepas tempoh berkempen dibenarkan selepas proses penamaan calon ianya digerakkan secara beransur-ansur dan Alhamdulillah ianya berjalan lancar.

‘’Alhamdulillah proses penamaan calon berlangsung dengan baik semalam dan tahniah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mereka memecahkan tempat pusat pencalonan untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengelakan orang ramai berkumpul.

‘’Mulai daripada semalam kita telah memulakan kempen rata-rata saya tengok di bawah khususnya jentera BN UMNO amat baik sekali dan mereka bersemangat untuk meyakinkan pengundi dan berjumpa seramai mungkin pengundi walaupun masa mereka amat terhad dan tidak ada persediaan kerana PRN ini secara tiba-tiba tetapi banyak bahagian berjalan dengan baik dan pagi tadi saya di Sipitang, kemudiannya Beaufort dan Kimanis serta  Papar.

‘’Jelas sekali organisasi UMNO adalah amat baik dan mantap cuma organisasi ini mahu digerakkan sahaja dan penggerakan ini dilakukan secara beransur-ansur dan saya yakin bahawa jentera kita akan berjalan dan berkempen dengan teratur. Saya harap supaya masa berkempen ini tidak adalah isu-isu yang boleh menyebabkan proses berkempen kita terganggu,’’ katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya mengingatkan agar jentera parti berkempen secara baik dan pada masa yang sama memastikan masyakat setempat mendapat maklumat yang sebenarnya.

‘’Kita berkempen dengan cara baik dan pastikan supaya orang ramai dapat maklumat yang jelas disampaikan dan akan berjumpa seramai mungkin pengundi. Begitu juga calon-calon saya nasihatkan supaya pergilah merayau dan pergilah berjumpa seramai mungkin pengundi di kawasan masing-masing,’’ ujarnya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai  pertandingan yang melibatkan beberapa penjuru di dalam satu-satu DUN, beliau berpandangan ianya merupakan satu proses demokrasi yang subur jika dilihat daripada sudut positif.

‘’Kalau kita lihat dari segi positifnya itu baik dan proses demokrasi subur di Malaysia dan khususunya di Sabah. Sabah boleh jadi satu ‘template’ kepada satu proses demokrasi yang meriah kerana dalam proses sitem pilihan raya di negara ini, kita menyuburkan semangat demokrasi dan sesiapa sahaja boleh berkempen dan menjadi calon. Itu sebabnya sekarang ini dah tidak ada waktu bantahan kerana kita tidak mahu menyekat  orang daripada menawarkan diri untuk menjadi calon.

‘’Ramai yang menawarkan diri tidak mengapa dan masing-masing mempunyai peluang dan masing-masing ada kekuatan. Yang pentingnya kita berkempen secara sihat kerana kita berkempen 14 hari dan jangan musnahkan negeri atau negara kita dalam tempoh berkenaan kerana selepas tempoh berkempen esok, kita akan duduk bersama sebagai masyarakat Malaysia  terutama masyarakat yang berbilang kaum dan kita perlu meneruskan kehidupan kita,’’ tambahnya. – UMNO Online