‘Ubah Balik’, Ini Adalah Peluang Yang Cukup Istimewa – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 25 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan agar pengundi-pengundi Sabah ‘ubah balik’ dan mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Jelas beliau, peluang ini adalah peluang yang cukup terbaik kerana selama ini rakyat Sabah terlalu sengsara di bawah pemerintahan Warisan.
“Ini adalah peluang terbaik untuk kita ubah balik. Ini adalah ketika yang cukup istimewa agar kesengsaraan kita lalui selama 27 bulan ini dapat kita tebus semula dan kaedah penebus adalah dengan memberikan peluang semula melalui sokongan kepada semua calon-calon BN dan calon-calon rakan-rakan kongsi politik kita.
“Dan insya-Allah … apabila kita dapat memegang tampuk kerajaan negeri Sabah maka apa yang saya nyatakan dan apa yang telah dilontarkan dalam Aku Janji ini, insya-Allah, saya akan membantu untuk melaksanakannya demi kepentingan Sabah. Radu Tatap Radu, Radu sampai menang,” ujarnya dalam Bicara Nasional bersama Pengarah Akademi UMNO Malaysia, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.
Tambah Ahmad Zahid lagi, Aku Janji yang dilontarkan selama waktu berkempen ini akan dilaksanakan sekiranya BN dan rakan-rakannya memenangi PRN Sabah.
Dalam pada itu beliau turut ditanya mengenai ekonomi Sabah yang semakin merudum semenjak pemerintahan Warisan dan ia jauh berbeza semenjak BN menerajui kerajaan Sabah.
“Ketika BN memerintah dahulu, pertumbuhan ekonomi berada pada 8.22 peratus pada 2017 tetapi selepas mereka (Warisan) mengambil alih ia merudum ke tahap 1.5 peratus dan pada 2019 ia turun kepada 0.5 peratus. Ertinya pertumbuhan ekonomi hanya setengah peratus.
“Ini memperlihatkan bahawa agenda ekonomi bukannya keutamaan kerajaan Warisan. Maka ada hikmahnya bahawa rakyat amat rindu kepada BN.
“Inilah ketikanya yang sangat baik rakyat Sabah ubah balik dan pada waktu yang sama kekecewaan mereka kepada BN akan terubat dengan kerinduan teramat sangat lambang dacing dan dapat membentuk kerajaan yang baru di Sabah,” katanya.
Jelasnya lagi, persaingan kini adalah persaingan dunia keseluruhannya, maka ia harus berada di garisan hadapan untuk menentukan Malaysia menjadi negara maju.
“Sabah kita lihat mengikut statistik adalah salah sebuah negeri yang terkehadapan, purata ekonominya melebihi purata nasional dan ia terbukti Sabah memperlihatkan prestasi yang baik.
“Insya-Allah, potensi ini terus digali. Sabah akan terus berada dibarisan hadapan dan ini kemakmuran rakyat Sabah keseluruhannya,” ujarnya – UMNO Online